KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Perkhidmatan Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin dilanjutkan secara kontrak selama dua tahun berkuat kuasa 16 Dis ini.
Surat pelantikan itu diserahkan Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai pada majlis ringkas di Wisma Bernama di sini hari ini.
“Saya amat berterima kasih kepada Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Ketua Setiausaha (Datuk Mohamad Fauzi Md Isa) kerana menyokong rayuan Bernama kepada (Jabatan Perkhidmatan Awam) untuk melanjutkan kontrak Nur-ul Afida.
“Beliau adalah aset kepada Bernama dan lanjutan tugas sebagai KPE akan banyak membantu kerana 2025 merupakan tahun yang amat sibuk,” kata Wong dalam kenyataan.
Beliau berkata Malaysia akan mengambil tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, dan senarai mesyuarat berprofil tinggi telahpun dijadualkan.
Pelanjutan perkhidmatan Nur-ul Afida yang akan bersara pada 15 Dis ini dipersetujui Lembaga Pengelola Bernama selaras dengan dasar dan prosedur pelantikan secara kontrak yang ditetapkan oleh kerajaan.
Pada Oktober 2023, Nur-ul Afida mencatat sejarah apabila menjadi wanita pertama memegang jawatan Ketua Pengarang agensi berita itu, yang ditubuhkan pada 1967.
Beliau dilantik ke jawatan KPE pada 27 Feb lepas, menggantikan Jamaluddin Muhammad yang bersara wajib Disember tahun lepas.
Nur-ul Afida, 58, mempunyai pengalaman luas dalam bidang kewartawanan dan telah memegang beberapa jawatan penting di Bernama, antaranya sebagai Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita dan Ketua Bahagian Perancangan Strategik.
Anak kepada wartawan veteran Allahyarham AR Kamaludin, Nur-ul Afida memulakan kerjaya sebagai wartawan di akhbar Harian Nasional dan menyertai Bernama pada Januari 1985 sebagai wartawan kadet.
Sepanjang 39 tahun perkhidmatan, beliau pernah bertugas di pelbagai bahagian serta unit termasuk Meja Berita Am, Meja Penyuntingan Bahasa Melayu, Unit Foto serta Meja Rencana dan Penulisan Strategik.
Beliau juga merupakan tenaga pengajar bagi Bernama School of Journalism sejak 2009.
Menerima pendidikan awal di Bukit Bintang Girls’ School sebelum menyambung pelajaran ke Tingkatan Enam di Institut Hasni pada 1986, Nur-ul Afida meneruskan pengajian peringkat tinggi dan menerima Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Komunikasi Massa, Universiti Teknologi MARA pada 1993.
Beliau kemudian melanjutkan pengajian peringkat sarjana di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang Pengurusan Komunikasi pada 2011.
Nur-ul Afida yang tidak asing dalam dunia kewartawanan negara telah dilantik sebagai Ahli Majlis Pentadbir Institut Akhbar Malaysia (MPI) pada 16 Mei lepas.
Atas kepimpinan dan usaha gigih beliau yang memberi inspirasi kepada generasi baharu pemimpin wanita dalam bidang kewartawanan, Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) memberikan Anugerah Luminary Media kepadanya pada majlis Anugerah Jubli Intan kelab itu pada 27 Sept lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial