AM > BERITA

SPAN Gerakkan 15 Lori Tangki Agihan Di Tanah Merah

05/12/2024 07:32 PM

KOTA BHARU, 5  Dis (Bernama) -- Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menggerakkan 15 lori tangki agihan daripada lapan rakan operator di semenanjung, bagi memastikan seramai 13,000 pengguna di Tanah Merah terus mendapat bekalan air bersih.

Ketua Pegawai Eksekutif SPAN Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman berkata lori tangki terbabit digerakan susulan Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Remah, Tanah Merah terpaksa ditutup akibat situasi tanah gelongsor yang menyebabkan runtuhan cerun pada 28 Nov.

Beliau berkata SPAN menggerakkan lori tangki agihan itu sejak 29 Nov dan operasi berkenaan akan diteruskan sehingga bekalan dapat dipulihkan dalam jangkaan tempoh masa 14 hari daripada tarikh itu.

“Berdasarkan laporan dan tinjauan fizikal di tapak LRA itu, situasi amat serius dengan runtuhan cerun bukan hanya menyebabkan kerosakan kepada paip air mentah dan paip air terawat malah lebih kritikal, ia turut berpotensi tinggi menyebabkan kerosakan pada bangunan utama kerana pergerakan tanah terus berlaku dan merebak hampir ke bangunan utama.

“Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) sedang bertungkus-lumus membaik pulih paip yang rosak dan bekerja secara 24 jam walaupun keadaan di tapak amat berbahaya, demi memastikan bekalan air dapat dipulihkan sesegera mungkin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Faizal berkata durasi kerja pembaikan LRA itu bergantung kepada faktor cuaca dan kestabilan cerun di kawasan berkenaan, dengan bantuan kajian kestabilan cerun oleh Jabatan Kerja Raya yang turut bertindak sebagai pihak yang bakal melaksanakan kerja pembaikan cerun.

“AKSB melalui pelan jangka panjangnya sedang mengusahakan pembinaan loji rawatan air mudah alih, yang berupaya memproses sehingga tiga juta liter air sehari dan pembinaan telaga tiub berkapasiti dua juta liter air sehari untuk kegunaan pengguna.

“SPAN akan memantau rapat situasi pemulihan bekalan di kesemua negeri yang terjejas akibat bencana banjir dan memohon kerjasama semua pihak yang terjejas untuk mendapatkan maklumat terkini di saluran-saluran rasmi operator,” katanya.

Beliau berkata Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia Kelantan turut menghulur bantuan menyediakan lori tangki berkapasiti 5,000 liter untuk kegunaan bekalan air Hospital Tanah Merah.

“Selain itu, persatuan berkenaan turut menawarkan bantuan dua loji rawatan air mudah alih berkapasiti pengeluaran 800 liter setiap jam, sekiranya sesuai dengan sumber air mentah dan lokasi yang ditentukan AKSB.

“Sebanyak 26 tangki statik turut ditempatkan di lokasi strategik sepanjang kerja-kerja baik pulih LRA Bukit Remah di lalukan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan