KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Seorang Ahli Dewan Negara berharap kerajaan mempertimbangkan penggunaan mekanisme e-dompet dalam penyaluran subsidi RON95 kepada rakyat yang layak.
Senator Datuk Lim Pay Hen berkata penggunaan e-dompet adalah lebih bersasar dan sistematik berbanding kad pengenalan kerana tidak akan merumitkan pengguna ketika berurusan di stesen minyak.
"E-dompet seperti Touch n Go dilihat lebih mesra pengguna dan kerajaan lebih mudah menyasarkan mereka yang menerima subsidi. Bagi mereka yang kurang mahir menggunakan e-dompet seperti warga emas, penyaluran secara tunai adalah paling efisien kerana kadar yang lebih jitu.
Pada 5 Nov lalu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata kerajaan masih dalam pertimbangan untuk memilih mekanisme terbaik bagi penyaluran subsidi berkenaan.
Selain itu, Lim berharap semua sistem dan urusan kerajaan dapat dilakukan secara digital pada tahun depan sejajar perkembangan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dan IR 5.0 yang memerlukan lebih banyak pengintegrasian teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan Internet of Thing (IoT).
"Tidak perlu lihat jauh, di peringkat Parlimen sahaja sejauh mana seluruh sistem yang digunakan Ahli Dewan Negara dan Ahli Dewan Rakyat berjaya didigitalkan kerana pada masa ini, kita masih bergantung kepada bahan-bahan cetakan dan belum mencapai tahap digitalisi yang komprehensif," katanya.
Sementara itu, Senator Datuk Sivaraj Chandran mencadangkan agar kerajaan menambah baik kokurikulum dalam program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan latihan praktikal, pendedahan industri, dan penilaian berterusan terhadap kebolehan pelajar, bagi memastikan peningkatan produktiviti tenaga kerja.
Pada sesi sama, Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof mencadangkan supaya kerajaan segera mewujudkan Akta Pendanaan Politik, yang mana menurut beliau, menerusi akta berkenaan, kerajaan sendiri memberikan peruntukan kepada parti-parti politik, mengikut modul diamalkan negara Jerman.
“Nisbah kelayakan (individu, parti politik) untuk mendapatkan peruntukan itu pula akan bersandar kepada nisbah sokongan atau undi yang mereka perolehi (pada pilihan raya), kerajaan boleh teliti kaedah ini kerana ia lebih praktikal,” katanya.
Persidangan Dewan Negara bersambung Isnin.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial