AM > BERITA

Hakim, Pendaftar Mahkamah Syariah Boleh Jalankan Prosiding Kes Mal Menerusi Teknologi Jarak Jauh

05/12/2024 08:52 PM

KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Hakim atau pendaftar mahkamah syariah di Wilayah Persekutuan selepas ini boleh menjalankan suatu prosiding bagi kes mal iaitu kes-kes bukan jenayah menerusi teknologi komunikasi jarak jauh dengan mengambil kira terdapat keadaan darurat atau hal keadaan sesuatu kes.

Ini selepas Rang Undang-Undang (RUU) Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 dan RUU Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 diluluskan di Dewan Rakyat hari ini.

Pindaan bagi Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505) dan Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998 (Akta 585) yang dibacakan kali pertama pada 2 Julai lepas itu, diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahas masing-masing oleh 13 dan tujuh Ahli Parlimen dari blok kerajaan dan pembangkang.

Terdahulu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan ketika menggulung perbahasan RUU Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 berkata pengenalan seksyen baharu 40A berkenaan selaras dengan usaha menaik taraf sistem perkhidmatan elektronik melalui transformasi sistem E-Syariah.

“Penambahbaikan RUU ini meliputi memasukkan peruntukan yang membolehkan prosiding pendengaran kes mal dijalankan di mana-mana tempat lain selain mahkamah yang ditubuhkan di bawah Seksyen 40 Akta 505 atau melalui teknologi komunikasi jarak jauh.

“Mekanisme ini menunjukkan bahawa keadilan pihak-pihak sentiasa diberi keutamaan dan dipelihara sekiranya pihak-pihak mempunyai halangan dalam keadaan darurat menurut hukum syarak atau keadaan tertentu untuk hadir secara fizikal ke mahkamah syariah,” katanya. 

Sementara itu menerusi kelulusan RUU Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024, Zulkifli berkata pelantikan peguam syarie tidak perlu lagi melalui proses melafazkan wakalah di hadapan mahkamah atau pendaftar.

“Dengan pindaan ini, pihak-pihak dan peguam syarie tidak dikehendaki hadir di hadapan mahkamah atau pendaftar untuk melafazkan wakalah,” katanya. 

Dalam aspek tatacara mal, beliau berkata cadangan meminda Seksyen 3 Akta 585 juga untuk membolehkan takrif baharu ‘teknologi komunikasi jarak jauh’ dimasukkan dan dilaksanakan.

Semalam Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Musa Awang dalam kenyataan berkata pindaan yang dicadang dalam kedua-dua RUU itu juga memberikan kebaikan, manfaat dan memudahkan urusan masyarakat Islam di mahkamah syariah khususnya di Wilayah Persekutuan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan