KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Kumpulan Affin telah menerima penarafan kredit antarabangsa pertamanya A3 dengan tinjauan yang stabil daripada Moody’s Ratings (Moody’s).
Kumpulan perbankan itu dalam satu kenyataan berkata penarafan tersebut menandakan satu peristiwa penting dalam sejarah 50 tahun kumpulan itu, mencerminkan asas kewangannya yang kukuh, kualiti aset yang berhemat dan kedudukan modal yang berdaya tahan.
Affin berkata ia turut mencerminkan hubungan rapat institusi itu dengan kerajaan negeri Sarawak yang memiliki 31.25 peratus pegangan ekuiti dalam bank tersebut.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank Bhd (AFFIN) Datuk Wan Razly Abdullah berkata penarafan itu merupakan pengiktirafan terhadap asas AFFIN yang kukuh dan mengesahkan kekuatan Pelan Axelerate 2028 (AX28) mereka.
“Semasa kami terus mengembangkan jejak kami dan rangkuman kewangan di seluruh Malaysia, penarafan ini mengesahkan keyakinan pasaran terhadap AFFIN,” katanya.
Wan Razly berkata penarafan itu mengukuhkan kedudukan bank di peringkat global, terutamanya dalam kalangan pelabur antarabangsa seperti kewangan perdagangan, perbankan koresponden dan pasaran modal dolar Amerika Syarikat (AS).
“Ia membuka lebih banyak akses kepada peluang di peringkat global dan pembiayaan bagi kumpulan itu,” katanya.
Menurut AFFIN, Moody’s menekankan beberapa kekuatan kumpulan itu, termasuk kualiti aset yang sihat.
“Kumpulan turut menunjukkan permodalan yang kukuh dengan nisbah ekuiti biasa yang ketara kepada aset berwajaran risiko sebanyak 14.5 peratus pada akhir 2024, pembiayaan dan mudah tunai yang mencukupi, disokong oleh peningkatan deposit akaun semasa dan akaun simpanan serta meningkatkan keuntungan, didorong oleh kecekapan operasi dan inisiatif transformasi digital,” katanya memetik penilaian Moody’s.
AFFIN berkata, dengan penarafan kredit itu, bank tersebut kini menyertai barisan institusi kewangan tahap tertinggi di Malaysia, sekali gus meningkatkan lagi kredibilitinya dan akses ke pasaran global.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial