AM > BERITA

RCI Batu Puteh Dedah Kelemahan Pengendalian Isu, Wujud Unsur Pengkhianatan - PM Anwar

06/12/2024 05:25 PM

PUTRAJAYA, 6 Dis (Bernama) -- Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kes Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan mendedahkan kelemahan pengendalian isu berkenaan selain wujud unsur pengkhianatan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata kelemahan pengendalian berkaitan isu Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan itu tidak sepatutnya berlaku kerana negara perlu perjuangkan setiap inci tanah di dalam negara ini secara sehabis-habisan.

“RCI itu mendedahkan kelemahan (pengendalian isu Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan)…Bagi saya, apa-apa kesalahan yang terlibat dalam menyerahkan kedaulatan adalah satu pengkhianatan besar kepada negara.

“Ini tidak boleh dipandang ringan,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Manar, Presint 14 di sini hari ini.

Anwar berkata perkara yang melibatkan kedaulatan negara bukan isu kecil dan perlu diberi perhatian serius.

Terdahulu Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul mengesahkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan akan dibentang di sidang Dewan Rakyat minggu depan.

Beliau berkata laporan itu telah diedarkan kepada semua Ahli Parlimen dengan beberapa perkara telah deklasifikasikan dan dijangka dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Sementara itu Anwar berkata proses undang-undang harus dihormati. 

“Proses undang-undang harus dihormati, jadi kita tengok proses berikutnya,” katanya.

Semalam dilaporkan, menerusi laporan setebal 217 muka surat itu, RCI mengesyorkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 417 kanun sama dan juga di bawah Seksyen 418 kanun sama.

Sebelum ini Azalina dalam kenyataan berkata laporan RCI terbabit sudah diedarkan kepada Ahli Parlimen dan ia akan dibahaskan di Dewan Rakyat pada hari Khamis minggu depan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan