AM > BERITA

RUU Majlis Media Malaysia Dilulus Jemaah Menteri, Dibentang Minggu Depan - Fahmi

06/12/2024 06:18 PM

PUTRAJAYA, 6 Dis (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia diluluskan Jemaah Menteri hari ini dan akan dibentangkan di Dewan Rakyat minggu hadapan, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata ia adalah suatu berita baik untuk rakan-rakan media.

“RUU Majlis Media Malaysia telah diluluskan Jemaah Menteri untuk dibawa ke Parlimen. Jadi kita akan bentangkan dalam Dewan Rakyat minggu hadapan. Sekiranya ada masa (ia) akan dibahas dan dibuat bacaan kedua dalam mesyuarat kali ini. 

“Jika tidak, ia telah disenaraikan untuk dibahas dalam mesyuarat yang akan datang. Jadi akhirnya ia mengikut perancangan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Pada 27 Mei, Fahmi berkata Kementerian Komunikasi di peringkat akhir merealisasikan penubuhan Majlis Media Malaysia (MMC) yang berperanan sebagai badan kawal selia kendiri bagi menjaga kepentingan media dan pengamalnya.

Penubuhan MMC adalah bagi membangun dan melaksanakan kod etika pelaporan yang dapat memperkasakan profesion kewartawanan negara, serta memastikan pelaporan berita oleh media dilakukan secara bertanggungjawab.

Ditanya sama ada laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kes Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan dibincangkan dalam mesyuarat, Fahmi berkata tidak dibincangkan secara khusus.

Namun demikian, beliau berkata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan, perkara itu akan dibahaskan di Parlimen minggu depan, sama ada Rabu atau Khamis.

“Jadi ahli-ahli Parlimen akan membahaskan laporan RCI tersebut dan Perdana Menteri juga telah memberi komen mengenai apa yang disebut sebagai pengkhianatan.

“Yang jelas bila kita baca laporan RCI itu, pengkhianatan yang telah berlaku,” katanya.

Ditanya sama ada akan dibuat semakan atau tafsiran berhubung laporan RCI itu, Fahmi berkata ia tidak dibincangkan.

Semalam dilaporkan, menerusi laporan setebal 217 muka surat itu, RCI mengesyorkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 417 kanun sama dan juga di bawah Seksyen 418 kanun sama.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan