AM > BERITA

BANJIR: ANGGARAN KERUGIAN SEKTOR AGROMAKANAN LEBIH RM177 JUTA - MOHAMAD

13/12/2024 04:56 PM
Daripada Thivyamalini Ramalu

PUTRAJAYA, 13 Dis (Bernama) -- Anggaran kerugian sektor agromakanan akibat banjir setakat ini bernilai lebih RM177 juta, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

Data itu berdasarkan laporan dari 27 Nov hingga 12 Dis lepas, dengan anggaran keluasan kawasan terjejas ialah 28,265.49 hektar.

"Jumlah kumpulan sasar yang terkesan sebanyak 15,456 orang dan sektor paling terjejas ialah tanaman padi (lebih RM159 juta kerugian). Sektor perikanan dan ternakan turut terjejas.

"Maka kita akan berusaha membantu mereka yang terjejas mengikut skim sedia ada di bawah kementerian, selain daripada (bantuan melalui) agensi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan agensi lain," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelepasan Skuad Ihsan MADANI Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), di sini hari ini.

Berdasarkan laporan awal kerosakan mengikut negeri, Kedah mencatatkan angka kerugian tertinggi iaitu lebih RM97 juta, diikuti Kelantan (lebih RM33 juta) dan Terengganu (lebih RM13 juta).

Mohamad berkata KPKM turut menyediakan bantuan pascabanjir menerusi Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) bagi membantu pesawah yang terkesan akibat bencana.

TBTP merupakan satu bentuk bantuan segera yang diberikan secara tunai khusus kepada pesawah yang terjejas atau mengalami kemerosotan pengeluaran hasil padi akibat faktor luar kawalan seperti serangan penyakit, bencana alam dan lain-lain yang bukan disebabkan oleh faktor manusia.

Beliau berkata kadar pemberian bantuan adalah berdasarkan usia tanaman padi iaitu RM1,800 sehektar bagi usia padi melebihi 71 hingga 120 hari, manakala RM876 per hektar bagi peringkat tanaman satu hingga 70 hari dan jumlah bantuan terhad kepada kawasan musnah seluas tiga hektar sahaja bagi satu musim penanaman.

Skuad Ihsan MADANI KPKM itu digerakkan bagi membantu kumpulan sasar terutamanya di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Menerusi usaha berkenaan, pasukan sukarelawan akan bergotong-royong melakukan aktiviti pembersihan, mengagihkan bekalan makanan termasuk agihan makanan ternakan serta pemindahan ternakan ke penempatan sementara.

Skuad Ihsan MADANI adalah cetusan idea Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar untuk mengaturgerakkan penjawat awam bagi membantu meringankan beban mangsa yang terjejas akibat banjir.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan