AM > BERITA

PKPS 2.0: LHDN Seru Bayaran Ikut Aturan Ansuran Sebelum 31 Dis

19/12/2024 02:07 PM

PUTRAJAYA, 19 Dis (Bernama) -- Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyeru semua pembayar cukai yang telah menyertai Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) 2.0 supaya membuat bayaran penuh mengikut aturan ansuran ditetapkan pada atau sebelum 31 Dis ini.

LHDN dalam kenyataan hari ini memaklumkan kegagalan menjelaskan bayaran dalam tempoh  ditetapkan boleh mengakibatkan kenaikan cukai lewat bayar dikenakan di bawah Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1967 atau tindakan undang-undang di mahkamah. 

"Tindakan pematuhan turut boleh dikenakan ke atas mereka mengikut Rangka Kerja Audit Cukai yang berkuat kuasa dengan pembayar cukai boleh diaudit atau disiasat pada masa hadapan sekali gus manfaat PKPS 2.0 yang dinikmati akan terbatal.

"Sehubungan itu, LHDN ingin menasihatkan kepada semua pembayar cukai agar membuat semakan tunggakan cukai dan ansuran bayaran PKPS 2.0 secara dalam talian di https://mytax.hasil.gov.my," menurut kenyataan itu.

Menurut LHDN, dengan kerjasama semua pihak, objektif pelaksanaan PKPS 2.0 akan tercapai sepenuhnya serta menjadi pemangkin kepada peningkatan kesedaran, tanggungjawab dan tahap pematuhan cukai rakyat Malaysia pada masa hadapan.

PKPS yang bermula pada 2018 merupakan inisiatif LHDN bagi memberi peluang kepada pembayar cukai tampil secara sukarela memperbaiki rekod percukaian sekiranya terdapat isu-isu ketidakpatuhan seperti pendapatan yang tidak atau terkurang lapor, pelepasan, perbelanjaan, potongan, rebat, elaun dan insentif yang terlebih tuntut serta kegagalan mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP). 

Sebanyak 141,406 kes pengakuan sukarela telah diterima setakat 31 Mei lepas menerusi PKPS 2.0 melibatkan taksiran cukai berjumlah RM1.29 bilion, melepasi sasaran awal RM1 bilion.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan