AM > BERITA

JPS Mulakan Kerja Baik Pulih Runtuhan Tebing Sungai Kelantan Hari Ini

23/12/2024 02:20 PM

KOTA BHARU, 23 Dis (Bernama) -- Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaksanakan kerja-kerja darurat di tebing Sungai Kelantan yang runtuh berhampiran sebuah kondominium dan hotel di Jalan Post Office Lama di sini, bermula hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama Dr Hafidzah Mustakim berkata pemakluman mengenai perkara itu disahkan oleh Pengarah JPS Kelantan Dr Siti Fairus Zakaria pagi tadi.

"Alhamdulillah, saya dapat bercakap dengan Pengarah JPS Kelantan pagi ini dan beliau telah mengesahkan satu kerja pelaksanaan darurat dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakan runtuhan tebing lagi teruk berlaku.

"Saya yakin tindakan diperlukan akan dilaksanakan oleh agensi terlibat sama ada teknik pasang jaring atau sebagainya, kita serahkan kepada pihak lebih pakar," katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan sebuah kondominium berhampiran runtuhan di sini hari ini.

Sementara itu, Penolong Pengarah Landskap Majlis Perbandaran Kota Bharu Muhammad Faizuddin Muhammad Fadzin berkata pihaknya akan mengeluarkan notis mengosongkan premis perniagaan di sekitar kawasan terbabit dalam masa terdekat.

"Pihak kami telah mengadakan mesyuarat semalam dan notis mengosongkan premis perniagaan  melibatkan lebih kurang 40 peniaga dijangka dikeluarkan minggu ini," katanya.

Pengerusi Persatuan Penduduk Pelangi Mall Foo Chek Yee pula berharap kerja-kerja pembaikan tebing runtuh itu dapat dilakukan segera kerana hampir 1,600 penghuni kondominium terlibat bimbang kejadian yang berlaku sebelum ini.

Pada 16 Dis lepas, satu runtuhan sepanjang lebih 50 meter berlaku di tebing Sungai Kelantan menyebabkan laluan pejalan kaki dan rekreasi turut runtuh pada ketinggian hampir 10 meter.

Kerajaan Kelantan mengisytiharkan kawasan runtuhan tebing itu sebagai 'kawasan bencana' dan perlu dibaik pulih dengan kadar segera bagi mengelak menjadi lebih teruk memandangkan ia merupakan satu daripada destinasi tarikan pelancong.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan