KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) -- Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra Malaysia) dan Lembaga Tabung Haji (TH) akan mengadakan Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan Ketiga (KHUP 3) pada 3 hingga 5 Jan 2025.
Presiden Bumitra Malaysia Dr Wan Muhamad Adam Wan Norudin berkata karnival itu akan berlangsung di Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA di Sepang, Selangor, dengan menyasarkan kehadiran 20,000 pengunjung.
Beliau berkata penganjuran karnival itu bagi menonjolkan kecemerlangan dan ketelusan Bumitra dan TH dalam pengurusan haji serta umrah sekali gus meyakinkan bakal haji mengenai keupayaan kedua-dua agensi tersebut dalam mengendalikan sektor berkenaan.
“Kerjasama tersebut membolehkan bakal haji 2025 membuat keputusan yang tepat dan selesa untuk perjalanan ibadah mereka,” katanya dalam sidang media prapelancaran KHUP 3 di Menara Kuala Lumpur hari ini.
Dalam pada itu, Ketua Jabatan Haji TH Mohd Hisham Harun berkata pihaknya menjangkakan lebih 20,000 pengunjung hadir ke karnival berkenaan selepas pihaknya berjaya mencatatkan 16,000 pengunjung pada edisi lepas.
“Karnival ini juga sebagai satu daripada usaha untuk mempromosikan pakej haji yang telah disediakan oleh 37 syarikat pelancongan yang dilesenkan oleh TH sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH).
“Acara utama semasa karnival adalah tawaran pelbagai pakej haji yang menarik dengan harga yang kompetitif daripada 37 syarikat, termasuk pakej haji ekonomi yang berharga di bawah RM55,000 seorang,” katanya.
Selain itu, Mohd Hisham berkata beberapa aktiviti menarik turut diadakan sepanjang karnival itu berlangsung antaranya Simulasi Haji Cilik, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak 12 tahun ke bawah, kuiz harian dan cabutan bertuah.
“Pengunjung juga akan dihiburkan dengan persembahan kumpulan nasyid seperti UNIC dan Hijjaz serta artis Datuk Hattan,” katanya.
Sementara itu, Mohd Hisham berkata pendaftaran jemaah haji terpilih yang ingin menunaikan ibadat haji dengan PJH perlu membuat pendaftaran secara dalam talian di reruai PJH pilihan mereka semasa menghadiri karnival.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial