AM > BERITA

Nahas KM204: Siasat Awal Dapati Insiden Berpunca Daripada Tayar Treler Tercabut - Loke

24/12/2024 06:13 PM

PUTRAJAYA, 24 Dis (Bernama) -- Siasatan awal pihak berkuasa mendapati kemalangan membabitkan lima kenderaan di KM204 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara di Melaka malam tadi yang mengakibatkan tujuh maut dan 33 cedera berpunca daripada tayar lori treler tercabut, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Loke menerusi kenyataan berkata dalam insiden itu, bas persiaran membawa 27 penumpang terbabit dipercayai cuba mengelak daripada melanggar tayar itu, namun terbabas dan merempuh tiga kenderaan lain dari arah bertentangan.

Susulan itu, beliau telah mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) agar segera menjalankan siasatan berhubung punca kemalangan dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap syarikat treler dan bas yang terlibat.

“JPJ akan terus melaksanakan tindakan penguatkuasaan yang tegas dan bersepadu terhadap kenderaan perdagangan berat bagi memastikan pematuhan aspek keselamatan sepanjang masa demi menjamin keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.

Loke turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa yang terkorban dalam kemalangan itu yang berlaku kira-kira 8.45 malam tadi.

Tujuh termasuk lima sekeluarga maut manakala 33 cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran yang membawa 27 penumpang, dua lori, sebuah kereta dan kenderaan pelbagai guna (MPV).

Mangsa yang meninggal dunia ialah pemandu dan empat penumpang MPV serta pemandu dan penumpang bas berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan