MELAKA, 24 Dis (Bernama) -- Sambutan ulang tahun kelahiran ketiga-tiga anak saudaranya yang diraikan secara serentak bulan lepas, menjadi kenangan terakhir buat keluarga mangsa kemalangan tragis di Kilometer 204 (KM204) Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, malam tadi.
Nur Aqilah Mazupi, 30, berkata sambutan berkenaan diadakan buat kali pertama diadakan serentak kerana tidak mahu ketiga-tiga anak saudaranya yang lahir pada bulan berbeza merajuk, dan sambutan berkenaan diadakan di rumah nenek mereka di Bangi, Selangor.
Nur Aqilah merupakan adik kepada pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima Khairul Ikhwan, 32, yang maut bersama isteri Fadzlenna Ramli, 32 dan anak mereka berusia dua tahun, Muhammad Umar dalam nahas membabitkan lima kenderaan itu.
“Mereka lahir pada Februari dan Disember tapi sebab tak mau ada yang merajuk, sambutan dibuat serentak dan itu adalah kali pertama dibuat. Sambutan diadakan di rumah nenek mereka di Bangi dan saya pula kali terakhir berjumpa arwah pada Sabtu lepas (21 Dis) ketika mereka sekeluarga singgah di Seremban sebelum ke Melaka.
"Paling saya tak boleh lupa, Muhammad Umar yang berusia dua tahun itu bersungguh-sungguh melambai kepada kami ketika kereta bergerak sehinggalah hilang daripada pandangan mata," katanya yang ditemui pemberita di Jabatan Forensik Hospital Melaka di sini hari ini.
Menurut Nur Aqilah, abangnya yang juga anak kedua daripada lima beradik itu ke Melaka untuk sambutan hari keluarga sebelah Fadzlenna.
“Saya tahu kemalangan ini selepas tengok berita. Apabila dilaporkan ada kemalangan membabitkan kereta Toyota Estima, saya hubungi polis untuk pengesahan nombor plat kereta dan terus ke sini," katanya.
Dalam kejadian 8.45 malam itu, Khairul Ikhwan dan Fadzlenna masing-masing bekerja sebagai Pembantu Perubatan di Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Serdang, maut di tempat kejadian bersama anak bongsunya, Muhammad Umar serta warga emas Ramli Ab Wahab, 66, yang juga bapa kepada Fadzlenna.
Turut dikenal pasti terkorban pemandu bas persiaran Noorisnien Khamid, 56.
Dua lagi mangsa yang maut di tempat kejadian masing-masing seorang penumpang MPV dan bas persiaran masih belum dikenal pasti.
Anak sulung pasangan berkenaan Muhammad Uwais Al-Qarni, 7, yang cedera parah kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala anak kedua Nur Sofea Humaira, 4, dilaporkan stabil selepas menerima rawatan di Zon Kuning.
Tujuh maut manakala 33 cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran yang membawa 27 penumpang, dua lori, sebuah kereta dan MPV di KM204 Lebuhraya PLUS arah utara, malam tadi.
Siasatan awal mendapati bas persiaran tersebut terlanggar tayar lori yang tercabut di lorong tengah dan menyebabkannya hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan tiga kenderaan hingga menyebabkan lima penumpang Toyota Estima dan pemandu bas berkenaan meninggal dunia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial