AM > BERITA

Nahas KM204: Anak Mangsa Jalani Pembedahan Hari Ini

25/12/2024 05:21 PM

MELAKA, 25 Dis (Bernama) -- Anak pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) yang terselamat dalam kemalangan ngeri membabitkan lima kenderaan di Kilometer 204 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Muhammad Uwais Al-Qarni Khairul Ikhwan, 7, dijadualkan menjalani pembedahan di Hospital Melaka petang ini. 

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata pembedahan itu  melibatkan bahagian paha sebelah kanan dan setakat ini mangsa masih di pantau di Unit Rawatan Rapi (ICU). 

"Sementara adik perempuannya Nur Sofea Humaira, 4, selamat menjalani pembedahan di bahagian paha kiri pada pagi tadi dan kini dalam keadaan stabil. 

"Pemandu treler Mohamad Shafiq Mohd Zuki, 27, yang masih dalam pemantauan di ICU turut dijadualkan menjalani pembedahan hari ini jika keadaannya stabil," katanya kepada pemberita selepas menziarahi mangsa di sini hari ini.

Ngwe berkata empat penumpang bas persiaran yang juga warga Singapura telah pun dibenarkan keluar dari Hospital Melaka dengan seorang daripadanya sedang menunggu perkhidmatan ambulans untuk dibawa pulang ke negara asal bagi meneruskan rawatan. 

"Sementara itu, jenazah Lamrah Asid Ali, 66, setakat ini masih belum dituntut memandangkan waris masih dalam perjalanan … proses berkenaan dijangka dilakukan hari ini," katanya.

Ngwe berkata 10 mangsa yang dirawat di Hospital Alor Gajah dan empat di Hospital Pantai sudah dibenarkan pulang. 

Dalam kejadian pada malam Isnin lepas, tujuh maut manakala 33 cedera dalam nahas membabitkan sebuah bas persiaran yang membawa 27 penumpang, dua lori, sebuah kereta dan MPV di KM204 Lebuhraya PLUS arah utara.

Mereka yang maut ialah lima sekeluarga terdiri pemandu MPV Khairul Ikhwan Mazupi, 32, bersama penumpang Fadzlenna Ramli, 32; Ramli Ab Wahab, 66, Fauziah Jaafar, 69, dan Muhammad Umar Khairul Ikhwan, 2.

Dua lagi yang turut terkorban ialah pemandu bas persiaran Noorisnien Khamid, 56, dan penumpang warga Singapura yang juga pemandu pelancong Lamrah Asid Ali, 66.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan