KUALA LUMPUR, 24 Dis (Bernama) -- Meskipun membeli-belah dalam talian menjadi trend pada masa ini, pusat beli-belah tetap sesak dengan pengunjung yang membuat persiapan akhir menjelang perayaan Krismas esok.
Tinjauan Bernama di sebuah pusat beli-belah di sini hari ini mendapati kedai menjual perhiasan antara tumpuan ramai dengan diskaun menarik ditawarkan kepada pelanggan.
Peniaga makanan Alex Wang Hui, 35, berkata dia sering membeli perhiasan dan barangan basah satu atau dua hari sebelum Krismas kerana harga yang ditawarkan jauh lebih murah.
“Saya mendapat tawaran yang baik hari ini, suasana di pusat beli-belah menjelang perayaan pun lebih meriah,” katanya.
Pekerja bank Gabriel Monti, 38, berkata dia bersama suami merebut promosi menjelang Krismas bagi membeli hadiah untuk dibawa pulang ke kampung halaman di Melaka.
“Pelbagai tawaran dengan diskaun menarik diberikan membuatkan saya memilih saat akhir untuk berbelanja,” katanya.
Sementara itu, Tim Burton, 63, dari Texas, Amerika Syarikat berkata tahun ini merupakan kali pertama dia dan isteri Yuka, 61, menyambut Krismas di Malaysia.
Pegawai kewangan itu berkata suasana membeli-belah saat akhir di sini juga tidak jauh berbeza, cuma sambutan Krismas di Texas sinonim dengan sajian ‘tamales’, juadah berasal dari Mexico selain cuaca di sana sangat sejuk ketika ini.
“Kami berada di sini tanpa ahli keluarga, jadi Krismas esok sedikit berbeza. Kami hanya mendengar lagu-lagu perayaan dan akan berada di rumah dengan menyediakan hidangan tradisional Krismas yang lain seperti ham, ayam panggang dan kentang,” katanya.
Sementara itu, terdapat juga ibu bapa yang tidak melepaskan peluang cuti sekolah dan perayaan Krismas untuk membawa anak-anak membeli-belah dan mengunjungi tempat menarik di sekitar ibu kota.
Muhammad Firdaus Saidi, 42, berkata dia dan isteri serta dua anaknya tidak pulang ke kampung pada Krismas bagi mengelak kesesakan dan memanfaatkan cuti perayaan dengan mengunjungi tempat menarik di sini.
"Kami sekeluarga ke Sunway Lagoon sebelum ini dan hari ini kami bawa anak-anak menaiki Transit Aliran Massa (MRT) memandangkan mereka belum pernah menaiki perkhidmatan itu,” katanya.
Sementara itu, di JOHOR BAHRU, seorang pengusaha restoran dikenali sebagai Lai, 42, berkata meskipun persiapan telah dilakukan sebulan awal, dia tetap tidak melepaskan peluang membawa isteri dan anak-anak ke pusat beli-belah yang dipenuhi dengan hiasan Krismas.
“Saya ambil kesempatan cuti Krismas bawa anak-anak berjalan sambil menjamu selera dan tengok dekorasi perayaan yang sangat cantik.
“Baju isteri dan anak-anak pula telah lama saya beli, kalau ada yang perlu ditambah saya akan beli dengan diskaun hujung tahun dan kebiasaannya malam ini saya dan keluarga akan ke gereja,” katanya.
Pengurus kedai Cynthia Tan, 38, berkata dekorasi yang indah di pusat beli-belah utama memeriahkan lagi sambutan Krismas dengan pengunjung tidak melepaskan peluang bergambar bersama ahli keluarga termasuk anak kecil dalam suasana penuh keriangan.
Beliau berkata walaupun bekerja esok, ia tidak menghalangnya untuk menyambut Krismas dengan pakaian baharu yang telah dibeli awal.
“Esok saya akan bertukar hadiah dengan kawan-kawan. Aktiviti ini juga dilakukan bersama ahli keluarga sebagai tanda menghargai satu sama lain meskipun tidak semua yang menyambut Krismas,” katanya.
Di PULAU PINANG, beberapa lokasi perniagaan seperti Sunway Carnival Mall, Seberang Jaya dan Design Village Oulet Mall, Batu Kawan menjadi tumpuan ramai, dengan seorang pengunjung Alexander Tan, 34, mengambil kesempatan membeli-belah beberapa lagi barangan seperti pakaian dan makanan untuk sambutan esok.
"Hadiah Krismas untuk keluarga saya beli di Singapura kerana saya bekerja di sana dan hari ini saya datang beli beberapa lagi barangan saat akhir, nampak orang ramai di Sunway Carnival dan sambutan Krismas juga meriah," katanya yang menyambut hari Natal di rumah ibunya di Butterworth.
Latisha Gevariel, 25, berkata dia terpaksa membeli-belah pada saat akhir kerana baru mula bercuti hari ini, namun persiapan untuk memasak telah dibeli hujung minggu lepas.
"Hari ini saya beli beberapa hadiah untuk keluarga dan pakaian untuk dipakai ke gereja esok," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial