AM > BERITA

Angin Kencang, Laut Bergelora Dijangka Landa Perairan Negara 29-31 Dis

27/12/2024 11:01 PM

KUALA LUMPUR, 27 Dis (Bernama) -- Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora di sekitar perairan negara bermula 29 hingga 31 Dis ini.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan petang tadi, jabatan itu memaklumkan angin kencang timur laut berkelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam (kmsj) dengan ombak hingga 3.5 meter dijangka melanda kawasan perairan Johor Timur, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, kenaikan paras air laut turut diramalkan berlaku di kawasan perairan berkenaan bermula Ahad hingga Isnin dengan risiko limpahan air laut di pesisir pantai.

Menurut MetMalaysia, angin kencang timur laut berkelajuan 40 hingga 50 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian 3.5 meter turut dijangka membadai kawasan perairan selatan Samui, Tioman, selatan Bunguran, tenggara Reef North, Reef South, Layang-Layang, Labuan dan Palawan hingga Selasa.

Di kawasan perairan Condore dan barat laut Reef North, angin kencang dan laut bergelora kategori ketiga dengan kelajuan melebihi 60 kmsj dan ombak lebih 4.5 meter dijangka berlaku hingga Selasa.

“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak,” menurut kenyataan itu.

Amaran kategori kedua pula dikeluarkan bagi kawasan perairan utara Bunguran serta timur laut dan barat daya Reef North dengan angin kencang berkelajuan 50 hingga 60 kmsj dan ombak hingga 4.5 meter.

“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri,” menurut MetMalaysia.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan