JOHOR BAHRU, 1 Jan (Bernama) -- Pusat Akuatik Arena Larkin di sini yang ditutup sejak Ogos tahun lepas bagi menjalankan kerja-kerja menaik taraf, dibuka semula kepada orang awam bermula hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor Mohd Hairi Mad Shah berkata kerja menaik taraf selesai dilaksanakan pada November tahun lepas, manakala pemantauan dibuat sepanjang bulan lepas.
“Pusat akuatik ini ditutup sementara susulan keadaan lantai yang dicemari kesan karat, selain kejadian pencemaran bakteria e-coli yang berlaku pada Julai tahun lepas.
“Dua lantai kolam sudah digantikan dan pemantauan berterusan oleh pihak Jabatan Kesihatan menerusi pengambilan sampel air juga telah dibuat,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya hari ini.
Mohd Hairi berkata hasil laporan menunjukkan keputusan positif dari segi bacaan bakteria dan klorin, sekali gus tidak menghalang kemudahan itu dibuka dan diguna orang awam.
Pusat Akuatik Arena Larkin akan beroperasi setiap hari kecuali ditutup pada Rabu untuk kerja-kerja pembersihan menyeluruh.
Sebanyak 19 pelajar yang menyertai Kejohanan Akuatik Majlis Sukan Sekolah Johor (MSSJ) 2024 di pusat akuatik itu pada 16 hingga 18 Julai tahun lepas dirawat di hospital, selepas dipercayai mengalami pelbagai gejala termasuk muntah, demam dan gatal pada kulit.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial