SUKAN > BERITA

NOVA HARAP BEREGU CAMPURAN NEGARA MANFAATKAN PELUANG PADA TERBUKA MALAYSIA 2025

04/01/2025 09:00 AM

KUALA LUMPUR, 4 Jan (Bernama) — Jurulatih beregu campuran negara Nova Widianto berharap anak buahnya dapat memanfaatkan peluang ketiadaan pasangan China, Zheng Si Wei dan Huang Ya Qiong yang telah bersara, untuk menyerlah pada Terbuka Malaysia 2025.

Walaupun berdepan cabaran sukar kerana undian kurang memihak kepada pasukan negara dengan kemungkinan bertemu sesama sendiri seawal pusingan kedua, Nova berharap anak buahnya dapat membuktikan kelebihan mereka dan memberikan persembahan terbaik.

“Undian kurang cantik. Saya harap untuk Terbuka Malaysia kali ini, beri yang terbaiklah. Kita tak banyak sasaran nanti pemain tertekan, yang penting beri yang terbaik untuk Malaysia.

“Ya, (ketiadaan Si Wei dan Ya Qiong) inilah masa kita untuk cari juara … jadi, kita harus ambil (peluang itu),” katanya kepada pemberita di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara di sini baru-baru ini, sambil menyifatkan gandingan China itu bermentaliti kuat kerana berjaya menjuarai Terbuka Malaysia empat kali berturut-turut.

Anak buah Nova yang akan beraksi pada Terbuka Malaysia 2025 ialah Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin yang masing-masing dijadualkan menentang pasangan Taiwan, Wu Hsuan Yi-Yang Chu Yun serta Ming Che Lu-Huang En Tzu bagi merebut slot ke pusingan kedua.

Ketika ditanya sama ada Pang Ron-Su Yin yang kini di ranking ke-20 dunia perlu segera melonjakkan kedudukan mereka bagi mengikuti jejak Tang Jie-Ee Wei dalam kelompok lima terbaik dunia, Nova menjelaskan peningkatan itu boleh mengelakkan pasangan berkenaan diundi bertemu sesama sendiri pada pusingan awal kejohanan.

“Dari segi corak permainan, Pang Ron dan Su Yin dah berjaya buktikan, keyakinan mereka lebih meningkat terutama Su Yin sebab keputusannya bagus, tetapi untuk Terbuka Malaysia, beliau masih baharu,” katanya yang turut memuji pasangan profesional negara, seperti Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie yang turut menunjukkan prestasi memberangsangkan. 

Beliau berkata kenaikan tahap beregu campuran negara tidak kira yang bernaung di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) atau profesional sebenarnya memberikan impak positif apabila ia melahirkan persaingan yang sihat antara satu sama lain dan berharap BAM mampu melahirkan beberapa lagi pasangan campuran negara. 

Terbuka Malaysia 2025 dijadualkan bermula Selasa depan (7 Jan) hingga Ahad (12 Jan) di Axiata Arena, Bukit Jalil.

— BERNAMA 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan