AM > BERITA

Projek Tebatan Banjir, Basmi Miskin Tegar Perlu Disegerakan - PM Anwar

03/01/2025 10:51 AM

KUALA LUMPUR, 3 Jan (Bernama) -- Semua isu mendesak, seperti kemiskinan tegar dan tebatan banjir perlu diselesaikan segera termasuk merombak unjuran projek sedia ada, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata hal ini kerana ia melibatkan kepentingan serta keselamatan nyawa dan harta benda rakyat.

"Saya setuju dalam perbincangan kita harus rombak itu semua kerana banjir mengorbankan nyawa dan harta … dan kalau perlu jimat daripada perbelanjaan lain, kita jimatkan, kalau perlu pinjam kita pinjam.

"Semua program mendesak, seperti kemiskinan tegar dan tebatan banjir harus disegerakan dan tidak ikut unjuran lima, enam tahun … supaya dalam tempoh singkat masalah itu diselesaikan sebaik mungkin," kata beliau ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.

Perdana Menteri berkata perkara ini harus diteliti semua ketua setiausaha kementerian (KSU) bagi menangani isu-isu mendesak itu termasuk mengambil inisiatif turun padang dengan memantau sendiri permasalahan dihadapi rakyat.

"Kalau tidak, KSU baru datang kemudian tengok skim banjir untuk tebatan banjir fasa satu di Rantau Panjang dah siap, fasa kedua 2026, fasa ketiga 2029, jadi orang Rantau Panjang kena tunggu 15 tahun baru nak siap? Tak usah bangkit keupayaan negeri, saya tidak mahu dengar hal itu, yang saya tahu kita mesti selesaikannya.

"Kerjasama dan perubahan tentunya melibatkan peruntukan kewangan besar, tetapi kalau perlu potong peruntukan daripada tempat lain, kita potong, kerana mesti selesaikan perkara asas dihadapi rakyat," kata Anwar.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan