PUTRAJAYA, 10 Jan (Bernama) -- Permohonan pendaftaran dua Taman Asuhan Kanak-kanak (taska) di Selangor dan Sarawak yang terbabit dalam insiden kematian serta kecederaan bayi baru-baru ini akan diteliti semula, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.
Beliau berkata pihaknya tidak boleh sewenang-wenangnya meluluskan permohonan taska berkenaan susulan ia berada di bawah tindakan pihak polis.
“…kerana ia melibatkan seorang kanak-kanak yang telah meninggal dunia (kes di Selangor). Ada perkara lain juga yang membuat kita sedikit berhati-hati untuk meluluskan, jadi perlu pertimbangan yang teliti kerana kalau kita meluluskan begitu sahaja, ianya boleh melibatkan keselamatan kanak-kanak itu lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis pelancaran plak taska berdaftar di Taska Seri Kandi, Jabatan Audit Negara di sini hari ini.
Media semalam melaporkan seorang bayi lelaki berusia empat bulan dipercayai meninggal dunia di sebuah taska di Bandar Saujana Putra, Selangor.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Mohd Akmalrizal Radzi berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang doktor di sebuah klinik di Bandar Saujana Putra 3.29 petang pada Jumaat (3 Jan) mengenai seorang bayi lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri yang telah dibawa oleh pengasuh taska ke klinik terbabit.
Sementara itu, kes di Batu Kawa, Kuching, Sarawak pula melibatkan bayi berusia lapan bulan yang didapati mempunyai bekas gigitan pada bahagian belakang badan dan susulan daripada itu, polis menahan tiga wanita terdiri daripada pemilik taska dan dua penjaga premis berkenaan bagi membantu siasatan.
Difahamkan kedua-dua taska itu tidak berdaftar dan kini dalam proses untuk permohonan lesen operasi.
Mengenai statistik penguatkuasaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak berkaitan taska, beliau berkata sebanyak 97 tindakan telah diambil seluruh negara sepanjang tahun 2024 iaitu 61 taska telah dibatalkan pendaftaran, kompaun (22), tindakan penguatkuasaan lak (lapan), tutup sementara (lima) dan satu telah diberikan arahan bertulis.
Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Nancy berkata inisiatif plak taska berdaftar itu merupakan usaha dan penyelesaian yang memudahkan semua pihak mengetahui status legitimasi taska selain menyemak di laman sesawang www.jkm.gov.my.
Beliau berkata setakat ini terdapat 3,198 taska yang telah berdaftar dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan setiap taska itu perlu memasang atau menampal plak pendaftaran berkenaan di bahagian yang mudah dilihat di premis taska.
“Saya menyeru semua pihak yang ingin mengoperasikan taska agar segera berdaftar seperti yang diperuntukkan undang-undang, serta untuk meningkatkan lagi keyakinan ibu bapa dan penjaga terhadap perkhidmatan pengasuhan yang disediakan di Malaysia,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial