AM > BERITA

Jelajah PETRA Skuad Zon Selatan Tinjau Tenaga Boleh Baharu Di Johor

11/01/2025 11:50 AM

PUTRAJAYA, 11 Jan (Bernama)  -- Edisi kedua Jelajah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) Skuad Zon Selatan diteruskan ke Johor bagi meninjau perkembangan semasa sektor tenaga khususnya bidang tenaga boleh baharu serta memantau agenda penguatkuasaan sektor tenaga dan air.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata jelajah itu juga antara lain bertujuan meninjau tahap kemajuan dan pencapaian projek berkaitan di bawah kementeriannya.  

“Jelajah ini memberi peluang kepada pihak pengurusan tertinggi, sebagai contoh hari ini saya turut disertai Ketua Setiausaha Kementerian (KSU) dan ketua-ketua jabatan untuk menilai prestasi projek dan program yang telah dilaksanakan.

“Kita sering menetapkan dasar dan polisi tetapi pelaksanaannya juga perlu dipastikan berjalan lancar terutama apabila melibatkan sentuhan langsung dengan masyarakat,” katanya kepada Bernama selepas sesi pelepasan jelajah di Menara PETRA hari ini.

Beliau berkata lawatan kali ini meliputi perjalanan dari utara ke selatan Johor sebelum ke kawasan daerah tengah negeri itu.

Antara lokasi yang ditinjau stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) di ChargeEV Tangkak, pemasangan sistem solar di Johor Premium Outlets (JPO) dan loji janakuasa cekap Southern Power Generation di Pasir Gudang.

Selain itu, tinjauan turut meliputi stesen sambung tara antara Malaysia-Singapura Senibong Switching Station 230kV, pemasangan Smart Metering Tenaga di Johor Bahru, serta Loji Rawatan Kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) di Taman Pelangi.

Jelajah yang berlangsung dua hari itu adalah kesinambungan daripada siri lawatan pertama di Melaka yang diketuai Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof pada 16 Nov lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan