KUALA LUMPUR, 11 Jan (Bernama) -- Natasha Mohamed Roslan menyifat kejayaan menamatkan kemarau 53 tahun negara dengan menjadi wanita pertama merangkul kejuaraan Kejohanan Piala Dunia Persekutuan Boling Antarabangsa (IBF) semalam, bagaikan satu mimpi.
Atlet berusia 28 tahun itu, yang menewaskan peserta Jerman Birgit Noreiks 217-166 dan 226-169 pada aksi final wanita di Top Bowl, Kai Tak Sports Park di Hong Kong, sangat gembira kerana kerja keras selama bertahun-tahun akhirnya berhasil.
“Secara jujur, segalanya seperti mimpi bagi saya. Untuk mencipta sejarah sebagai wanita pertama Malaysia memenangi Piala Dunia sesuatu yang sangat mengujakan. Saya percaya ada banyak lagi, saya mahu menang lebih banyak untuk negara saya.
“Proses saya mudah...saya tahu sentiasa ada sesuatu yang saya boleh diperbaiki. Pemikiran ini yang membuatkan saya terus berusaha, jadi saya tidak mudah selesa namun semua ini saya rasa seperti mimpi,” kata Natasha.
Kemenangan itu merupakan gelaran dunia ketiga buat Natasha selepas mengungguli Kejohanan Tenpin Boling Dunia 2023 di Salmiya, Kuwait dan menjuarai acara bepasukan wanita bersama Li Jane, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman dan Datuk Shalin Zulkifli pada edisi 2017 di Las Vegas, Amerika Syarikat.
Sementara itu, juara dunia 2018 Muhammad Rafiq Ismail terlepas kejuaraan dalam final individu lelaki apabila tewas 223-222, 166-216, 193-235 kepada peserta China, Du Jian Chao.
Kali terakhir Malaysia menjuarai kejohanan sama ialah pada edisi 2021 di Poland menerusi Syafiq Ridhwan Abdul Malik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial