Oleh Muhammad Faizal Nazmi Mohd Haran
KUALA TERENGGANU, 12 Jan (Bernama) -- Langkah hibrid iaitu menggabungkan pembinaan pemecah ombak (breakwater) dengan tukun dilihat berpotensi mengawal isu hakisan pantai di Terengganu.
Pakar hakisan pantai Prof Madya Dr Effi Helmy Ariffin berkata langkah itu solusi alternatif yang boleh dipertimbangkan kerajaan selain memfokus kepada penyelesaian tunggal pemecah ombak semata-mata.
“Tukun ini sebenarnya boleh juga memberi perlindungan daripada ombak. Tetapi disebabkan ia diletakkan di luar (di kawasan laut lebih dalam) jadi tidak beri kesan sangat.
“Ideanya adalah apabila kita hibridkan breakwater dan tukun ini diletakkan di antara pemecah ombak, itu akan betul-betul mengurangkan hakisan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Timbalan Pengarah Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu berkata kaedah berkenaan wajar diangkat kerana pemecah ombak juga sebenarnya boleh meningkatkan ekosistem hidupan marin sekitar apabila kajian mendapati berlaku pertambahan habitat perikanan di situ.
Sebelum ini, Pengerusi Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri Terengganu Dr Azman Ibrahim dilaporkan berkata sebanyak 1,579 tukun tiruan telah dilabuhkan di perairan Terengganu pada jarak lima batu nautika dari garisan pantai sejak 2006 hingga Oktober tahun lepas.
Effi Helmy turut berpendapat kos untuk langkah itu jauh lebih munasabah berbanding meletakkan benteng-benteng batu (rock revetment) sebagai satu daripada penyelesaian ad hoc atau segera dalam menangani isu hakisan di sepanjang pantai.
Mengulas lanjut, beliau berkata kaedah benteng batu sebenarnya lebih mendatangkan kesan negatif apabila benteng berkenaan akan mengkibatkan hakisan berpindah ke tempat lain, mengambil kira konsep ombak yang sentiasa ‘mencari’ kawasan lebih lembut untuk mengurangkan gelombangnya.
“Dan disebabkan kewujudan benteng-benteng batu maka ia akan mengganas di kawasan pantai lain pula yang terdedah,” katanya sambil menambah hakisan tidak boleh dihentikan kerana ia proses alami, sebaliknya boleh dikawal.
Selain itu, dari sudut sosioekonomi pembinaan benteng batu turut menjejaskan nelayan setempat apabila sukar untuk melabuhkan bot sekali gus memaksa mereka menambat kenderaan laut terbabit di kawasan lebih jauh.
Sementara itu, pengarah Pusat Logistik dan Pengangkutan (CeLT) Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Madya Dr Rohafiz Sabar berkata melihat kepada keperluan menambak pantai menggunakan pasir atau bahan semula jadi yang sesuai bagi mengawal permasalahan berkenaan.
Penambakan bertujuan memulihkan tanah pantai yang terhakis selain memastikan kestabilan garis pantai dengan penyediaan sistem penahan sementara seperti geotekstil atau jaring boleh diketengahkan bagi mengekalkan bahan yang ditambah iaitu pasir.
“Selain itu, boleh juga melihat kepada kaedah penanaman vegetasi pantai iaitu penyelesaian berasaskan bahan semula jadi seperti bakau dan rumput pantai yang membantu memperlahankan hakisan dengan menstabilkan tanah melalui akar tumbuhan.
“Prosesnya adalah dengan memilih tumbuhan yang sesuai dengan keadaan pantai dan pasang surut serta menanam dalam zon terdedah kepada hakisan dan berpotensi menjadi garis pertahanan semula jadi,” katanya.
Menurut kajian Terengganu Strategic and Integrity Institute (TSIS), pantai Terengganu tidak mempunyai kawasan yang banyak pokok bakau berbanding di Pahang dan Johor sekali gus menyebabkan garis pantai negeri itu sering berisiko berlaku hakisan.
Pensyarah di Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik UUM itu juga menyarankan pelaksanaan Pelan Tindakan Kelestarian Hakisan Pantai Terengganu 2025-2030 tertumpu kepada pendekatan bersepadu gabungan teknologi moden, konservasi ekologi, pengurusan komuniti, dan penggubalan dasar bagi memastikan kelestarian pesisir pantai.
Langkah pertama adalah dengan menjalankan kajian pemprofilan, hidrografi dan pemetaan geospatial menggunakan teknologi seperti dron dan Geographic Information System (GIS) bagi mengenal pasti kawasan kritikal seperti di Pantai Tok Jembal, Pantai Penarik dan Pantai Batu Buruk.
“Hasil kajian akan menjadi panduan kepada pelaksanaan langkah teknikal seperti pembinaan pemecah ombak, penambakan pantai dan penggunaan bahan geotekstil biodegradasi untuk menstabilkan kawasan terjejas.
“Pada masa sama, langkah semula jadi iaitu penanaman bakau, rumput pantai dan tumbuhan pesisir lain akan dilaksanakan untuk memulihkan ekosistem dan mengukuhkan tanah pantai,” katanya sambil menambah penglibatan komuniti setempat juga penting termasuk melalui latihan pemantauan pantai yang akan meningkatkan rasa tanggungjawab terhadap kelestarian pantai.
Rohafiz berkata pelan itu mustahak susulan situasi genting semasa termasuk kejadian lima jenazah termasuk tiga yang masih berbalut kain kafan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pengkalan Maras di Kuala Nerus, dihanyutkan ombak akibat runtuhan kubur dek hakisan pantai, 23 Nov tahun lepas.
“Kejadian kubur runtuh ini trigger point terbesar dalam permasalahan ini. Kita kena segera kawal isu hakisan pantai ini sebab ia sudah terlampau kritikal.
“Banyak impaknya bukan sahaja kepada sosial atau ekonomi tetapi juga kepada mental penduduk dan mangsa yang terjejas. Tuan-tuan tanah di situ, saya percaya ada geran tanah yang separuh di laut dan separuh di darat. Kita kena cepat, kalau tidak makin mengecil Terengganu itu,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial