AM > BERITA

Orang Ramai Dinasihat Waspada Kehadiran Ubur-ubur Api Di Pantai

12/01/2025 01:18 PM

MARANG, 12 Jan (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati kehadiran ratusan ubur-ubur api atau Portuguese Man of War yang kini terdampar di Pantai Rhu Muda di sini.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Sekitaran Marin Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof Madya Dr Roswati Md Amin berkata spesies yang diklasifikasikan di bawah kumpulan hydrozoan marin itu mudah dikenali dengan warna kebiruan lutsinar.

Pakar bidang Plankton Ekofisiologi itu berkata hidupan berkenaan mempunyai sel-sel penyengat berbisa yang terletak di bahagian tentakel, berfungsi untuk menangkap mangsa sebagai mekanisme pertahanannya.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menyentuh hidupan beracun itu termasuk yang telah mati kerana boleh memberi kesan berbahaya.

"Kewujudan hidupan ini banyak direkodkan di lautan Pasifik, India dan Atlantik. Bagaimanapun, pada November tahun lepas, kita dapati spesies ini ada naik di pantai sekitar UMT di Kuala Nerus.

"Hidupan bersifat koloni ini tidak boleh berenang dan bergerak menggunakan polip pelampung yang bersaiz antara dua hingga 10 sentimeter di bahagian atas yang berfungsi untuk pergerakan.

"Spesies itu juga bergerak mengikut pergerakan arus dan tiupan angin. Kajian menunjukkan kekuatan dan arah tiupan angin mempengaruhi damparan hidupan ini di pesisir pantai. Angin kuat musim Monsun Timur Laut (MTL) ketika ini antara penyebab damparan hidupan itu," katanya ketika dihubungi Bernama.

Sehubungan itu, Roswati menyarankan agar pihak berkuasa memantau kehadiran hidupan ini di lokasi pantai yang menjadi tumpuan pengunjung untuk memastikan keselamatan orang ramai terutama kanak-kanak yang mudah teruja dengan penemuan hidupan laut yang unik.

"Saya juga nasihatkan nelayan supaya lebih berhati-hati kerana ubur-ubur ini mudah tersangkut pada pukat," katanya.

Sementara itu, penduduk di Kampung Baru Rhu Muda di sini Mohd Kamaruzaman Sulong, 48, berkata dia menyedari kehadiran hidupan itu pada malam tadi ketika berada di dapur rumahnnya.

Kedudukan rumahnya yang sangat dekat dengan pantai membolehkan dia melihat dengan jelas ratusan hidupan berkenaan terapung-apung di laut. 

"Ini kali pertama saya lihat ubur-ubur itu di Pantai Rhu Muda. Tetapi saya kenal dan tahu kewujudan ubur-ubur ini kerana pernah jumpa ketika menangkap ikan di laut.

"Semalam ombak kuat dan air pasang, mungkin itu  punca hidupan ini naik ke Pantai Rhu Muda," katanya.

 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan