AM > BERITA

MRO Aset, Kementerian Pertahanan Kaji Penggunaan Pencetakan 3D

13/01/2025 04:09 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Kementerian Pertahanan sedang mengkaji penggunaan kaedah pencetakan 3D dalam penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) aset ketenteraan di seluruh negara bagi menjimatkan kos dan masa penghasilan alat ganti aset berkenaan.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata kaedah pencetakan 3D sesuai dimanfaatkan kerana banyak aset yang digunakan kementerian dihasilkan dari luar negara yang kosnya agak tinggi dan mengambil masa untuk dibawa masuk ke negara ini.

Beliau berkata penggunaan lebih meluas pencetakan 3D ini juga akan memberikan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan yang semakin ramai terlatih dalam bidang berkenaan.

“Ketika ini saya dapati ramai protege terlibat dalam bidang 3D printing ini, sebahagian mereka terdiri anak veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang telah dilatih menghasilkan produk yang boleh dimanfaatkan tentera kita.

“Saya akan melihat pandangan pengguna kita untuk bagaimana industri percetakan 3D ini boleh lebih banyak dilibatkan dan dikembangkan dalam industri pertahanan dengan disokong Kementerian Pertahanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat syarikat  Global Component Asia dan Global Turbine Asia di Subang, Selangor hari ini.

Selain meninjau sendiri industri berkaitan pertahanan, Adly berkata lawatan itu turut melihat bagaimana  veteran ATM dilibatkan dalam industri berkenaan.

Adly turut diberikan taklimat selain menyaksikan sendiri operasi syarikat berkenaan yang banyak terlibat dalam operasi MRO pesawat terutamanya helikopter.

Turut sama dalam lawatan itu, Pengerusi Eksekutif Global Component Asia dan Global Turbine Asia Datuk Nonee Ashirin Mohd Rodzi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan