EKONOMI > BERITA

MALAYSIA SASAR JADIKAN PAKISTAN HAB MINYAK SAWIT SERANTAU BAGI ASIA TENGAH – MPOB

13/01/2025 10:16 PM

 

Oleh Nurul Hanis Izmir

 

PUTRAJAYA, 13 Jan (Bernama) -- Malaysia berhasrat menjadikan Pakistan sebagai hab pengedaran strategik bagi eksport minyak sawit ke Asia Tengah dengan memanfaatkan lokasi strategik serta berhampiran dengan pasaran pertumbuhan tinggi yang pesat berkembang.

Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Datuk Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata hasrat itu juga sejajar dengan peningkatan permintaan dalam sektor makanan Pakistan yang bernilai US$115 bilion (US$1=RM4.50), sekali gus memberi peluang besar bagi produk minyak sawit Malaysia.

“Kita menyasarkan untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam industri minyak makan Pakistan selain menumpukan aspek memperkukuh usaha sama, meneroka produk-produk nilai tambah dan mempromosi amalan lestari,” katanya kepada Bernama susulan penyertaannya dalam delegasi Kementerian Perladangan dan Komoditi ke Pakistan, baru-baru ini.

Delegasi itu diketuai oleh Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang turut merasmikian Persidangan Minyak Makan Pakistan (PEOC) ke-7 di Karachi pada 11 Jan lepas.

Mengulas selanjutnya, Ahmad Parveez berkata MPOB melihat potensi besar dalam meningkatkan lagi kerjasama dengan syarikat terkemuka Pakistan seperti Westbury Group yang mengendalikan Mapak Qasim Bulkers, Mapak Edible Oils dan FWQ Enterprises di Pelabuhan Qasim. 

Mapak Qasim Bulkers misalnya menguasai kira-kira 50 peratus import minyak sawit ke Pakistan yang menjadikannya rakan penting bagi Malaysia di rantau itu.

Ahmad Parveez berkata kunjungan itu juga menyasarkan untuk meninjau peluang kerjasama baharu, menumpukan infrastruktur maju Pakistan di Pelabuhan Qasim yang mengendalikan lebih 90 peratus import minyak sawit negara itu.

Beliau berkata langkah memodenkan industri minyak dan lemak serta memperkemas logistik membantu kedua-dua mengurangkan kos perdagangan dan meningkatkan kecekapan.

Selain itu, antara perbincangan penting dalam kunjunga itu turut melibatkan aspek menaik taraf infrastruktur dan mempromosi import lemak khusus berasaskan sawit dan oleokimia yang dapat meningkatkan lagi eksport Malaysia ke Pakistan. 

Pada masa sama, kedua-dua negara sedang meneroka peluang penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menampung peningkatan perminaan sektor makanan Pakistan dan mempelbagaikan penggunaan produk berasaskan sawit, terutama dalam industri penjagaan diri dan isi rumah.

Aspek kemampanan turut dibincangkan dengan Malaysia menekankan kepentingan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), katanya.

“Malaysia juga menyasarkan untuk mendapatkan semula bahagian pasarannya di Pakistan yang telah susut beberapa tahun kebelakangan ini dengan 90 peratus import minyak sawit Pakistan dibekalkan oleh Indonesia.

“Menerusi promosi amalan mampan dan memperkenalkan produk inovatif dan nilai tambah yang disesuaikan dengan pasaran tempatan, Malaysia mahu meningkatkan daya saingnya di Pakistan," katanya.

Pada 2024, Malaysia mengeksport sebanyak 860,260 tan minyak sawit ke Pakistan iaitu peningkatan sebanyak 14.2 peratus daripada 2023.

Susulan unjuran sektor makanan Pakistan berkembang pada 7.5 peratus setiap tahun, wujud ruang besar bagi mengembangkan eksport, terutama dalam minyak ditapis, lemak khusus dan oleokimia.

Mengulas Seminar Tinjauan dan Pandangan Ekonomi (R&O) Minyak Sawit MPOB 2025 pada 14 Jan, Ahmad Parveez berkata ini akan menumpukan usaha meningkatkan daya saing industri minyak sawit Malaysia menerusi inisiatif ekonomi hijau.

Seminar yang bertemakan “Enhancing Palm Oil Competitiveness through Green Economic Initiatives,” akan turut meninjau peranan kemampanan dan inovasi untuk memperkukuh kedudukan Malaysia dalam pasaran minyak sawit global.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan