AM > BERITA

Kuatkan Semangat "Nambikei", Sambut Ponggal Dengan Ceria – Ramanan

13/01/2025 08:47 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Masyarakat India disaran memperkukuhkan lagi 'kuasa perpaduan’ dalam kalangan mereka untuk lebih maju pada masa hadapan sebagai satu komuniti yang berjaya, seiring dengan proses pembangunan negara.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R Ramanan dalam perutusan sempena sambutan Ponggal esok berharap perayaan Ponggal atau Pesta Menuai tahun ini membawa kemakmuran, kesejahteraan dan kebahagiaan yang menceriakan buat negara serta masyarakat India.

“Ponggal memberikan makna yang cukup mendalam untuk kita semua. Saya mendoakan kita dapat mengukir kejayaan dalam bidang ekonomi, pendidikan dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut mengajak semua pihak berganding bahu untuk memastikan harapan komuniti India dapat diterjemahkan secara tersusun dan terancang.

Ramanan yang turut bertanggungjawab terhadap hal ehwal komuniti India, berharap perayaan Ponggal tahun ini menjadi permulaan baharu kepada masyarakat India untuk lebih maju dan berjaya selaras dengan ungkapan Thai Pirandhal Vazhi Pirakkum (Tahun Baharu Membuka Jalan Baharu).

Ponggal Vaalthukal (Selamat Menyambut Ponggal). Sambutlah Ponggal dengan ceria dan gembira. Semangat Nambikei (keyakinan) yang kuat pasti akan memberikan kejayaan kepada kita semua,” katanya.

Ramanan berkata rakyat Malaysia perlu merenung perjalanan negara yang telah melalui pelbagai rintangan dan cabaran untuk membina Malaysia yang aman, harmoni dan semakin progresif hari ini, sambil menegaskan peranan signifikan masyarakat India dalam kemajuan negara.

“Bersempena dengan sambutan Ponggal tahun ini, marilah kita bersama-sama sebagai rakyat Malaysia mengeratkan perpaduan dan persefahaman dalam kalangan kita seiring dengan gagasan Malaysia MADANI di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Ponggal adalah perayaan menuai yang disambut oleh komuniti India di serata dunia, termasuk Malaysia. Perayaan ini menandakan penghargaan kepada dewa matahari (Surya) serta bumi (Bhoomi) atas hasil tuaian yang melimpah dan kemakmuran.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan