AM > BERITA

Pulau Sibuan Dibuka Semula Rabu Ini

13/01/2025 08:56 PM

KOTA KINABALU, 13 Jan (Bernama) -- Pulau Sibuan yang ditutup sementara sejak 7 Jan susulan penemuan bom lama tinggalan Perang Dunia Kedua, dibuka semula pada Rabu ini selepas semua langkah keselamatan selesai dilaksanakan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Christina Liew berkata bom lama atau unexploded ordnance (UXO) itu berjaya dimusnahkan penyelam ranjau Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada Sabtu lepas.

“Pulau Sibuan akan dibuka semula kepada pelancong pada 15 Jan sebaik sahaja pihak polis dan pasukan keselamatan serta Taman-Taman Sabah (TTS) selesai membuat kerja-kerja pembersihan dan penggumpulan sisa-sisa bom,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Liew berkata penutupan sementara pulau tersebut bermula apabila dua Pengawal Pantai TTS yang bertugas di Pulau Sibuan menjumpai objek menyerupai sebutir bom lama ketika melakukan aktiviti pemantauan dan pembersihan kawasan snorkeling di Pulau Sibuan.

“Pengurus taman, Taman Marin Tun Sakaran telah dimaklumkan mengenai penemuan tersebut dan laporan polis telah dibuat pada hari yang sama. Pegawai Penempatan Pos Pulau Sibuan 10 RAMD, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga telah dimaklumkan tentang perkara tersebut.

“Tujuan pihak TTS bertindak menutup sementara Pulau Sibuan daripada sebarang aktiviti pelancongan serta-merta adalah untuk memastikan keselamatan pelawat dan staf yang bertugas di pulau tersebut terjamin,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan