SUKAN > BERITA

MAMUT TIDAK DAPAT BERAKSI MENENTANG JDT, JUMAAT INI

14/01/2025 05:30 PM

KUALA NERUS, 14 Jan (Bernama) -- Penyokong Skuad Penyu terpaksa melupakan hasrat untuk melihat penampilan pertama penyerang import Ivan Mamut musim ini selepas disahkan tidak dapat diturunkan berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Jumaat ini.

Ini selepas ketua jurulatih Badrul Afzan Razali mengesahkan pemain kelahiran Croatia itu tidak dapat disenaraikan dalam kesebelasan utama pasukan kerana perlu menjalani rawatan pemulihan oleh pasukan perubatan Terengganu FC (TFC).

Badrul Afzan berkata beliau memahami kerinduan serta keghairahan peminat bola sepak yang ingin menyaksikan penampilan semula Mamut di atas padang selepas berehat panjang hampir setahun akibat kecederaan di kaki kiri tahun lalu.

“Beliau sudah kembali ke Terengganu Rabu lepas namun masih belum menyertai latihan dan berada dalam tempoh pemulihan akibat kecederaan perlawanan musim lalu.

"Saya minta penyokong mendoakan agar Mamut cepat sembuh dan dapat membantu pasukan pada perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia dan baki Liga Super," katanya ketika dihubungi hari ini.

Bagaimanapun, Badrul Afzan yang juga bekas pemain tengah Terengganu berkata ketiadaan Mamut tidak menjejaskan persiapan pasukan kerana TFC masih mempunyai dua tonggak import iaitu Ismaheel Akinade dan Nelson Bonilla serta pemain tempatan berkualiti di posisi serangan.

"Safawi (Muhammad Safawi Rasid) dan Akhyar (Muhammad Akhyar Rashid) juga tidak dapat beraksi kerana terikat dengan perjanjian bersama kelab JDT.

"Tetapi, kita tidak berputus asa dan pasukan sedang membuat persiapan rapi untuk menghadapi tentangan pasukan nombor satu negara," katanya.

Musim lalu, Mamut yang digelar ‘mesin gol’ oleh penyokong pasukan hitam putih mencatat rekod cemerlang apabila meledak 23 gol dalam 35 penampilan bersama skuad Penyu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan