JERTIH, 13 Jan ( Bernama) -- Penuntut jurusan Teknologi Makanan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mencipta 13 inovasi produk baharu makanan berasaskan jagung manis bagi memastikan pelbagai produk hiliran dapat dihasilkan daripada tanaman tersebut.
Dekan Falkuti Biosumber dan Industri Makanan UniSZA Prof Dr Hafizan Juahir berkata ciptaan oleh 13 kumpulan pelajar yang membangunkan produk hasil tanaman di ladang UniSZA Kampus Besut itu adalah menerusi program Hari Peluncuran Produk Makanan Baharu 2025.
“Program ini merupakan acara tahunan pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Teknologi Makanan yang mencipta produk makanan halal berasaskan tanaman yang ditanam di ladang UniSZA. Tahun lepas pelajar hasilkan produk berasaskan vitato (keledek),” katanya di UniSZA Kampus Besut, di Tembila di sini hari ini.
Beliau berkata program itu turut membekalkan ilmu keusahawanan kepada pelajar dengan UniSZA akan memberi bimbingan melalui program Dapur Pengeluaran Komuniti agar produk ciptaan mereka dapat memasuki pasaran.
Hafizan berkata antara ciptaan pelajarnya ialah produk mi hailam perasa jagung, keju, kepingan kaya, air berkarbonat, jagung putar, mi segera, emping tempeh jagung dan konfeksi tepung berperisa jagung dengan inti jagung berkaramel.
“Produk lain lagi ialah daging vegan jagung, minuman oat teh sutera (rambut) jagung, snek dan nougat jagung rangup,” katanya.
Sementara itu, kumpulan Jalan-Jalan Noodle yang menghasilkan mi hailam berperisa jagung dan kuah daripada air rebusan empulur jagung manis muncul sebagai pemenang pertama.
Ketua kumpulan, Chong Hong Hui, 24, berkata produk yang dihasilkan kumpulannya itu unik kerana setakat ini belum ada produk mi hailam segera di pasaran khususnya produk halal dan ia boleh dimakan walaupun hanya menggunakan air sejuk.
“Kami mengambil masa tiga bulan membuat kajian dari pelbagai aspek untuk menghasilkan produk ini dan sangat gembira kerana dipilih sebagai pemenang pertama setelah dinilai oleh pelbagai agensi luar berkaitan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial