AM > BERITA

PM Anwar Bertemu Rakan Sejawatan Di London

15/01/2025 11:59 AM

Daripada Arul Rajoo Durar Raj

LONDON, 15 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memulakan lawatan kerja lima harinya ke United Kingdom (UK) dengan bertemu rakan sejawatan Keir Starmer pada Rabu.

Pertemuan berkenaan akan diadakan di No. 10, Downing Street pada 1 tengah hari waktu tempatan (9 malam waktu Malaysia).

Anwar yang mewakili Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 dan Starmer, akan mengetuai delegasi masing-masing pada mesyuarat berkenaan yang memberi tumpuan kepada mengukuhkan hubungan yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara.

Perdana Menteri akan diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK dan Ireland Utara Datuk Zakri Jaafar.

Pada pertemuan itu kedua-dua pemimpin dijangka menyentuh pelbagai isu dua hala serta situasi di Myanmar dan Palestin.

Kerajaan pimpinan Starmer telah menggantung penjualan beberapa senjata kepada Israel di samping meminta supaya bantuan kemanusiaan ke Gaza dan Tebing Barat dipercepatkan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan dijadualkan menghadiri pelancaran produk oleh YTL Group UK hari ini.

UK merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia di Eropah dengan jumlah perdagangan kedua-dua negara adalah RM15.30 bilion (US$3.34 bilion) sehingga Novermber 2024.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan