JAKARTA, 15 Jan (Bernama) -- Badan Keamanan Laut (Bakamla) Indonesia merancang memperoleh dua kapal tahun ini, yang dibiayai secara domestik, sebagai sebahagian usaha meningkatkan keselamatan dan keupayaan pemantauan maritim di perairan negara itu.
Ketua Bakamla Laksamana Irvansyah berkata satu daripada kapal itu akan berukuran 80 meter panjang manakala satu lagi 60 meter, dengan kedua-duanya akan dibina oleh syarikat pembuatan maritim terbesar di Indonesia, PT PAL Indonesia, di Batam.
Bercakap pada majlis ulang tahun ke-19 Bakamla di sini pada Selasa, Irvansyah dipetik Kompas sebagai berkata pemerolehan itu adalah sebahagian daripada pelan strategik fasa pertama pembangunan Bakamla dari 2025 hingga 2029.
Sementara itu, Irvansyah memaklumkan pembinaan sebuah kapal yang dibiayai menerusi geran daripada Kerajaan Jepun melalui Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) sedang berlangsung di Jepun.
Dibina oleh Mitsubishi Shipbuilding Co Ltd, kapal sepanjang 85.6 meter itu akan memiliki kelajuan 22 knot dan dijangka siap pada 2027.
Selain itu, katanya, Amerika Syarikat turut berjanji untuk menyediakan sebuah kapal lebih kecil, sepanjang kira-kira 38 hingga 40 meter, yang sesuai untuk operasi di kawasan pantai.
Irvansyah juga menggariskan rancangan untuk melengkapkan semua kapal Bakamla dengan makmal atas kapal menjelang 2026, bagi membolehkan penyelidikan marin dan pemeriksaan langsung di laut dilakukan.
Makmal ini akan membolehkan ujian pantas terhadap narkotik, mineral dan bahan lain, sekali gus mengurangkan keperluan membawa kapal ke darat untuk pemeriksaan.
“Kami menyasarkan untuk menyelesaikan ujian dalam tempoh 1-2 jam di laut, berbanding 2-3 hari di darat,” katanya, sambil menambah bahawa inisiatif ini akan meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kos operasi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial