AM > BERITA

Malaysia Tangani Risiko Overtourism Menerusi Amalan Pelancongan Lestari

16/01/2025 09:20 PM

JOHOR BAHRU, 16 Jan (Bernama) -- Malaysia sedang berusaha menangani risiko overtourism atau lebihan pelancong dengan memberi tumpuan kepada amalan pelancongan lestari dan pembangunan infrastruktur bagi melindungi warisan semula jadi dan budaya negara.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk P. Manoharan berkata meskipun Malaysia belum menghadapi lebihan pelancong secara meluas, beberapa lokasi pelancongan seperti Semporna, Sabah telah mula berdepan masalah.

Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan memulihara lokasi terbabit di samping meningkatkan infrastruktur di kawasan yang mempunyai potensi besar untuk pelancongan lestari.

“Kita amat berhati-hati. Kita tidak mahu berdepan masalah overtourism di negara kita. Kita mahu mengekalkan alam semula jadi dan pengalaman pengembaraan supaya habitat di sekitar kawasan terbabit tidak terganggu akibat lebihan pelancong,” katanya. 

Manoharan berkata demikian pada taklimat media antarabangsa mengenai Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) yang berlangsung hari ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor bersempena penganjuran ASEAN Travel Exchange (TRAVEX), satu daripada komponen dalam Forum Pelancongan ASEAN (ATF) 2025.

Malaysia katanya telah merangka beberapa strategi untuk memastikan keseimbangan antara pertumbuhan dan pemuliharaan pelancongan antaranya dengan meningkatkan infrastruktur di destinasi kurang dikenali bagi mengagihkan aliran pengunjung.

“Inisiatif ini melibatkan kerjasama antara pihak berkepentingan tempatan dan kerajaan negeri untuk membangunkan infrastruktur khusus bagi memudahkan pergerakan pelancong," katanya.

Dalam perkembangan lain, Manoharan berkata Malaysia sedang melaksanakan langkah secara agresif untuk mengehadkan jumlah pengunjung di kawasan sensitif dari segi ekologi, seperti taman negara dan taman marin, bagi memastikan kelestarian alam sekitar.

Beliau turut memaklumkan bahawa tingkah laku pelancong telah berubah sejak pandemik COVID-19, dengan lebih ramai pelancong memilih destinasi yang kurang sesak berbanding terlalu popular, terutama pada waktu sibuk seperti hujung minggu panjang dan cuti musim panas.

ATF 2025 yang berlangsung mulai 15 hingga 20 Jan ini bertujuan mempromosikan produk pelancongan serantau, memudahkan pertukaran pengetahuan, membina jaringan yang bernilai, dan mengukuhkan kerjasama dengan pemimpin dalam industri pelancongan global bagi meningkatkan bilangan pelancong melawat ASEAN.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan