AM > BERITA

Portal MyEnergyStats Tingkatkan Akses Data Tenaga Negara

16/01/2025 07:26 PM

KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) – Portal MyEnergyStats, sebuah gerbang data terbuka sektor tenaga negara yang dibangunkan oleh Suruhanjaya Tenaga (ST), memberikan impak luas dalam memenuhi keperluan domestik dan antarabangsa, kata Ketua Pegawai Eksekutif ST Datuk Abdul Razib Dawood.

Beliau berkata data yang diterbitkan melalui portal itu digunakan dalam pelbagai laporan penting, termasuk pelaporan pelepasan gas rumah kaca (GHG) dan penyediaan Laporan Biennial Transparency Report (BTR) negara, yang sejajar dengan komitmen Perjanjian Paris.

“Data ini juga digunakan untuk menyokong pembangunan Dasar Tenaga Negara (DTN) serta pelan pelaksanaan berkaitan seperti Pelan Hala Tuju Tenaga Boleh Baharu Malaysia (MyRER) dan Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR).

“Malah, ia turut digunakan oleh badan antarabangsa seperti Asia Pacific Energy Research Centre (APERC) dalam laporan APEC Energy Demand and Supply Outlook serta ASEAN Center for Energy (ACE) dalam laporan ASEAN Energy Outlook,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof merasmikan pelancaran portal MyEnergyStats yang menggantikan Malaysia Energy Information Hub (MEIH), yang telah beroperasi sejak 2012.

Beliau berkata portal baharu tersebut menawarkan ciri seperti infografik, visualisasi data, peta interaktif, dan pengumpulan data yang lebih sistematik. Portal ini juga dilengkapi dengan aplikasi mudah alih yang boleh dimuat turun oleh pengguna iOS, Android, dan Harmony OS.

Menurut Fadillah, portal yang dibangunkan oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) ini adalah instrumen penting yang menyediakan data dan analisis sebenar untuk merangka dasar tenaga dengan lebih strategik.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan