GEORGE TOWN, 22 Jan (Bernama) -- Kadar penggunaan air domestik bagi setiap penduduk negeri ini pada tahun lepas adalah terendah dalam tempoh 24 tahun, kata Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Datuk K. Pathmanathan.
Beliau berkata pada tahun lepas, penggunaan air domestik berjumlah 261 liter kapita sehari (LKH), berbanding 284 LKH pada 2023 iaitu penurunan sebanyak 8.1 peratus.
"Jumlah 26I LKH adalah angka terendah sejak 2000 (255 LKH) tetapi penduduk Pulau Pinang pada 2000 adalah 1.3 juta berbanding 1.8 juta pada 2024.
“Oleh itu, penggunaan air domestik keseluruhan telah meningkat 39.8 peratus daripada 123 juta meter padu (m3) pada 2000 kepada 172 juta m3 tahun lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pathmanathan berkata angka 261 LKH itu menunjukkan langkah positif ke hadapan dalam pemuliharaan air domestik walaupun masih kurang 1.9 peratus daripada sasaran 256 LKH untuk 2024.
Beliau berkata faktor utama mendorong pengurangan penggunaan air domestik tahun lepas ialah pelaksanaan kadar air domestik baharu bermula 1 Feb 2024, peningkatan kesedaran awam dan Kempen Kurangkan 10 Peratus PBAPP 2024.
“Dalam tempoh 10 tahun dari 2014 hingga 2023, penggunaan air domestik di Pulau Pinang telah berlegar antara 276 LKH hingga 308 LKH. Sebagai perbandingan, purata negara ialah 237 LKH pada 2022 manakala Singapura mencatatkan 141 LKH untuk 2023,” katanya.
Sementara itu, Pathmanathan memaklumkan kapasiti efektif Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang setakat semalam berada pada tahap 78.3 dan 60.1 peratus.
Beliau berkata walaupun agensi ramalan cuaca antarabangsa meramalkan 2025 tahun La Nina yang sederhana, status bekalan 'tidak selamat' sehingga dua empangan itu diisi semula dengan hujan ke kapasiti yang lebih tinggi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial