AM > BERITA

HAWANA Jadi Platform Himpunkan Organisasi Media Seluruh ASEAN - Fahmi

23/01/2025 01:16 PM

PUTRAJAYA, 23 Jan (Bernama) -- Hari Wartawan Nasional (HAWANA) tahun ini bakal menjadi platform untuk menghimpunkan organisasi media dari seluruh ASEAN bagi memperkukuh hubungan dan kerjasama, selain mengenal pasti cabaran terkini dalam industri tersebut. 

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata HAWANA akan menjemput pengamal media dari ASEAN untuk beberapa program sempena kepengerusian ASEAN oleh Malaysia.

“Saya harap sempena kepengerusian ASEAN, kita dapat kumpulkan rakan-rakan media dari seluruh ASEAN, selain media rasmi dan syarikat-syarikat media yang lain untuk datang ke Kuala Lumpur.

“Ini supaya, kita dapat mengetahui dan memahami cabaran yang dihadapi oleh rakan-rakan media dalam lingkungan ASEAN. Pada masa yang sama, perbincangan antara syarikat organisasi media ini, saya percaya akan dapat memberi hala tuju yang baik untuk industri secara keseluruhan,” katanya

Fahmi berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan Kementerian Komunikasi di sini hari ini, yang turut dihadiri timbalannya Teo Nie Ching.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin. 

Sementara itu, Fahmi berkata industri media ketika ini berhadapan cabaran seperti perbelanjaan pengiklanan yang berkurangan berikutan syarikat membelanjakan dana iklan mereka untuk digunakan di platform media sosial.

“(Isu lain yang boleh dibincangkan) termasuk kebebasan media, etika kewartawanan dan berita palsu yang mungkin tersebar luas sehingga menjejaskan kredibiliti industri media dan syarikat media itu sendiri.

“Harapan saya sempena kepengerusian ASEAN, kita dapat kumpulkan (maklumat) dan perbincangan ini dapat kita teliti dan kita ikhtiarkan beberapa penyelesaian (buat industri media),” katanya.

Beliau berkata segala maklumat hasil perbincangan dengan organisasi media tempatan dan ASEAN menerusi platform HAWANA itu boleh disampaikan kepada menteri berkaitan di platform Menteri-Menteri ASEAN yang Bertanggungjawab bagi Maklumat (AMRI) di Bandar Seri Begawan, Brunei pada Mei ini. 

Terdahulu dalam ucapannya, Fahmi melahirkan keyakinan Bernama dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) mampu menggalas tugas sebagai media dan penyiar rasmi ASEAN dengan baik. 

“Dalam kepengerusian ASEAN, Bernama sebagai media rasmi dan RTM sebagai penyiar rasmi perlu memainkan peranan dengan baik, dan saya percaya ia akan dilaksana dengan sempurna,” katanya.

Beliau turut menegaskan kerajaan akan sentiasa memastikan media di Malaysia bebas dan berupaya melaksanakan tugas dengan baik.

Sebelum ini, Fahmi mengumumkan Bernama dilantik sebagai Media Rasmi dan Penyelaras Pusat Media Antarabangsa bagi Sidang Kemuncak ASEAN 2025 manakala RTM dilantik sebagai penyiar rasmi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan