SUKAN > BERITA

NURUL IZZAH IZZATI RAMPAS SEMULA EMAS DI ACARA KEIRIN PIALA PRESIDEN

23/01/2025 07:40 PM

NILAI, 23 Jan (Bernama) -- Pelumba berbasikal trek wanita negara Nurul Izzah Izzati Mohd Asri meneruskan rentak kecemerlangannya pada Siri Tiga Piala Presiden, selepas menyambar satu lagi emas dalam acara keirin elit wanita di Velodrom Nasional, di sini hari ini.

Ini sekali gus memadam luka atlet berusia 22 tahun itu, yang terlepas pingat emas pada Siri Dua kejohanan berkenaan selepas tewas kepada pelumba Korea Selatan Kim Haeun, dalam acara sama bagi Siri Dua kejohanan sama minggu lepas.

Pingat emas itu turut menjadi emas kelima pelumba kelahiran Sungai Petani, Kedah itu selepas meraih dua emas di Siri Satu, satu emas di Siri Dua dan dua emas di Siri Tiga.

Pada aksi final keirin hari ini Nurul Izzah yang diberi julukan sebagai The Pocket Rocket Women itu menamatkan saingan sebagai pelumba terpantas dengan catatan masa 11.200 saat (s) untuk pingat emas, meninggalkan Haeun yang meraih pingat perak.

Pingat gangsa menjadi milik seorang lagi pelumba Korea Selatan Hwang Hyeonseo manakala rakan senegara Nurul Alyssa Mohd Farid di kedudukan kelima. 

Mengulas mengenai perlumbaan, Nurul Izzah berkata beliau berpuas hati dengan prestasinya dan pingat emas itu nyata mengubat lukanya selepas tewas kepada Haeun, minggu lepas.

“Saya sudah berehat, sudah belajar di mana kesilapan, tahu bagaimana teknik pihak lawan untuk saya atasi dan lebih yakin ketika berlumba.

“Tapi selepas ini di Kejohanan Lumba Basikal Asia 2025 (ACC 2025) pasti lagi ramai pelumba hebat-hebat yang Korea bawa, saya perlu bersedia,” katanya kepada pemberita selepas perlumbaan itu hari ini.

Sebagai rekod, Nurul Izzah meraih emas pada Siri Satu namun sekadar meraih perak pada Siri Dua. 

Beliau turut meraih emas pada Siri Satu, Siri Dua dan Siri Tiga Piala Presiden dalam acara pecut. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan