AM > BERITA

Kepengerusian ASEAN: JPJ Tingkat Pengawasan Di KLIA Bendung 'Ulat Teksi'

28/01/2025 12:12 AM

SHAH ALAM, 27 Jan (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor akan melakukan pengawasan lebih intensif bagi membendung kegiatan 'ulat teksi' di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan 2 sepanjang Malaysia sebagai pengerusi ASEAN 2025. 

Pengarah JPJ Selangor Azrin Borhan berkata setakat ini pihaknya menahan 201 individu yang terlibat menjalankan jenayah perkhidmatan kereta sewa tidak berlesen atau secara haram di pintu masuk negara dengan menyasarkan warganegara asing.  

"Kita (JPJ Selangor) juga melakukan penyamaran dari semasa ke semasa, dan setakat ini kita berjaya kurangkan masalah ulat di KLIA dan pada tahun ini kita akan meningkatkan lagi penguatkuasaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau Ops Tahun Baharu Cina (TBC) 2025 Terminal Bas di Terminal 17, Seksyen 17 di sini hari ini. 

Mengenai Ops TBC, Azrin berkata sebanyak 34 kesalahan telah direkodkan daripada 1,701 bas yang  diperiksa dengan 25 individu dikenakan tindakan setakat ini hasil pemeriksaan di depoh dan terminal bas di Selangor. 

"Kesalahan dikesan antaranya kerana tiada pemandu kedua, memandu di lorong kanan secara berterusan, cermin retak dan tayar haus," katanya. 

Beliau berkata dalam mencapai objektif meningkatkan keselamatan dan kualiti perkhidmatan pengangkutan awam, pihaknya memfokuskan operasi kali ini pada aspek teknikal selain turut bekerjasama dengan Agensi Antidadah Kebangsaan. 

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan