AM > BERITA

10,000 Pengunjung Hadir Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Ketua Menteri Pulau Pinang

30/01/2025 06:42 PM

GEORGE TOWN, 30 Jan (Bernama) -- Lebih 10,000 masyarakat berbilang kaum menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow di SPICE Arena Bayan Baru di sini hari ini yang berlangsung dalam suasana meriah dan muhibah.

Orang ramai dari serata pelusuk negeri hadir memeriahkan majlis itu lebih awal bermula 1 tengah hari iaitu sejam sebelum acara bermula. 

Selain penduduk Pulau Pinang, pelancong asing juga tidak ketinggalan hadir bagi merasai sendiri kemeriahan suasana sambutan di samping menikmati pelbagai juadah makanan Melayu, Cina dan India yang disediakan.

Chow bersama isteri Tan Lean Kee terlebih dahulu meluangkan masa menyantuni tetamu yang hadir.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan isteri Toh Puan Khadijah Moha Nor.

Hadir sama barisan kepimpinan kerajaan negeri dan pusat antaranya Menteri Sumber Manusia merangkap Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim Chee Keong; Timbalan Menteri Kewangan yang juga Ahli Parlimen Tanjong Lim Hui Ying; veteran DAP Tan Sri Lim Kit Siang dan Ahli Dewan Undangan Negeri serta ketua jabatan kerajaan negeri.

Selain menggaul ‘Yee Sang’ yang menjadi tradisi masyarakat Cina, para hadirin turut disajikan dengan persembahan tarian singa diikuti tarian kebudayaan serta nyanyian.

Chow berkata rumah terbuka hari ini boleh disimpulkan sebagai satu majlis yang dapat memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat kerana mereka yang hadir terdiri pelbagai kaum dan peringkat umur.

"Seperti tahun-tahun lepas kita memang menyediakan makanan untuk 10,000 orang dan nampaknya hari ini saya rasa cukup (makanan dan minuman), majlis berjalan dalam suasana gembira dengan kehadiran pelbagai pihak daripada semua lapisan rakyat negeri ini," katanya.

Sementara itu, orang ramai yang ditemui meluahkan keterujaan kerana dapat bersama-sama menyambut Tahun Baharu Cina biarpun berlainan agama.

Bagi dua rakan iaitu Jason, 65, dan Simon, 60, mereka sanggup datang dari Kuala Lumpur dengan memandu kereta ke Pulau Pinang untuk bersama-sama meraikan dan memeriahkan rumah terbuka Tahun Baharu Cina Ketua Menteri hari ini.

Jason berkata tetamu yang hadir terdiri berbilang kaum menggambarkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia. 

"Kita boleh tengok rakyat Malaysia berbilang kaum datang hari ini, sama-sama beratur mengambil makanan dan seterusnya duduk semeja untuk menikmatinya, inilah semangat perpaduan kita sejak dulu lagi," kata pesara kerajaan itu.

Simon pula berkongsi kegembiraan dengan semangat muhibah dan teruja melihat pelbagai juadah berbilang kaum tersedia untuk para tetamu. 

"Saya India dan ingatkan hanya kaum Cina sahaja yang datang tapi nampaknya semua bangsa ada termasuk Melayu, paling saya teruja pelbagai jenis makanan turut disediakan," katanya yang akan datang lagi ke majlis itu jika dianjurkan pada tahun depan.

Bekas Ahli Parlimen Balik Pulau Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya yang turut menghadiri rumah terbuka itu berkata semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat sekarang dilihat semakin kukuh. 

"Saya sendiri gembira dengan kehadiran masyarakat berbilang kaum yang hadir pada majlis rumah terbuka itu ... Melayu, Cina dan India semua ada hari ini dan ini menunjukkan semangat perpaduan serta harmoni antara satu sama lain," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan