GEORGE TOWN, 30 Jan (Bernama) -- Kerajaan Pulau Pinang akan menambah bilangan kamera litar tertutup (CCTV) di seluruh Seberang Perai dalam usaha memastikan negeri itu terus menjadi bandar paling selamat di Malaysia.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata ketika ini terdapat lebih 200 CCTV di kawasan itu dan pihaknya merancang untuk menambah sehingga 1,000 CCTV bagi meningkatkan pemantauan.
"Di kawasan Seberang Perai memang ada usaha untuk menambah bilangan CCTV di seluruh tanah besar itu, namun kita akui kemampuan kita adalah terhad dan kita cuma boleh menambah sehingga mungkin 1,000 CCTV di seberang dalam tempoh setahun hingga dua tahun lagi.
"Ketika ini terdapat 200 lebih CCTV di seberang manakala di bahagian pulau pula sudah melebihi 1,000 CCTV sudah dipasangkan di seluruh kawasan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Ketua Menteri di SPICE Arena Bayan Baru, dekat sini.
Turut hadir Yang Dipertua Negeri Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan isteri Toh Puan Khadijah Mohamad Nor serta lebih 10,000 tetamu pelbagai kaum.
Chow berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan media berhubung Pulau Pinang mencatat kedudukan teratas sebagai bandar paling selamat di Malaysia berdasarkan Indeks Jenayah 2025 oleh Numbeo dengan skor indeks jenayah 30.3 dan indeks keselamatan 69.7.
Mengulas lanjut, beliau berkata penyenaraian itu akan meningkatkan keyakinan pelawat termasuk pelancong asing terhadap tahap keselamatan di negeri tersebut.
Indeks jenayah di Pulau Pinang juga katanya masih dalam keadaan terkawal.
"Saya berterima kasih kerana Pulau Pinang disenaraikan sebagai negeri yang paling selamat, sebenarnya sudah banyak tahun keadaan jenayah khususnya jenayah jalanan ataupun rompak dan jenayah serius adalah dalam keadaan yang terkawal.
"Mungkin yang masih menjadi jenayah yang merunsingkan adalah berhubung dengan jenayah dadah kerana Pulau Pinang adalah satu perantara dan pusat untuk pengedaran dadah dari negara utara melalui darat mahupun laut dan (apabila) sampai ke Pulau Pinang selepas itu diedar ke tempat lain," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial