AM > BERITA

Warga Bintulu Perlu Terus Waspada - Bomba

06/02/2025 11:49 AM

BINTULU, 6 Feb (Bernama) -- Warga Bintulu dinasihatkan agar terus berjaga-jaga dan bersedia dengan kemungkinan berlaku semula banjir, kata Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 5 Bintulu Wan Kamarudin Wan Ahmad.

Beliau berkata berdasarkan ramalan cuaca, kawasan Bintulu tidak akan mengalami hujan lebat berterusan sehingga boleh menyebabkan banjir seperti minggu lepas.

“Namun kita tidak pandang rendah perkara tersebut, kita sentiasa dalam keadaan siap siaga termasuk dari aspek anggota dan logistik untuk menghadapi sekiranya banjir akan berlaku lagi di Bintulu.

“Kita juga telah mengedarkan risalah mengenai tindakan atau perkara yang perlu dilakukan sebelum, semasa dan selepas banjir kepada warga Bintulu. Perkara ini penting bagi memastikan keselamatan diri mereka dan keluarga,” katanya kepada Bernama.

Malam tadi, Bintulu yang hampir pulih daripada banjir bermula minggu lepas kembali dinaiki air di beberapa kawasan termasuk Kidurong dan Sungai Plan.

Wan Kamarudin berkata JBPM Bintulu dengan kekuatan 60 orang anggota berserta aset tiga lori dan enam bot sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan.

“Selain itu, balai bomba berdekatan seperti di Kidurong dan Samalaju juga sedia memberi sokongan sekiranya diperlukan,” katanya.

Setakat pagi ini, seramai 1,864 mangsa banjir masih berada di enam pusat pemindahan sementara (PPS) di Bintulu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan