KUALA LUMPUR, 11 Feb (Bernama) -- Situasi banjir di Sabah dan Sarawak terus menunjukkan trend positif apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) berkurangan kepada 1,109 orang setakat 8 malam ini, berbanding 1,775 orang, petang tadi.
Di SABAH, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan jumlah mangsa banjir menurun kepada 505 orang daripada 159 keluarga berbanding 1,040 orang daripada 326 keluarga pada petang tadi.
Penurunan itu disebabkan banjir di daerah Membakut yang telah pulih sepenuhnya, membolehkan 101 mangsa daripada 34 keluarga yang ditempatkan di sebuah PPS pulang ke rumah masing-masing.
Selain itu, jumlah mangsa di Beaufort dan Kinabatangan turut mencatatkan penurunan, dengan 325 orang daripada 112 keluarga masih berada di dua PPS di Beaufort, manakala 180 orang daripada 47 keluarga ditempatkan di dua PPS di Kinabatangan.
Di SARAWAK, jumlah mangsa menurun kepada 604 orang setakat 8 malam ini, berbanding 735 orang petang tadi.
Menurut JPBN Sarawak, jumlah mangsa yang dipindahkan di bahagian Mukah menurun kepada 303 orang di tiga PPS, manakala Miri dan Sibu kekal masing-masing seramai 210 orang di dua PPS dan tiga orang di sebuah PPS.
Sementara itu, di bahagian Bintulu, jumlah mangsa meningkat sedikit kepada 88 orang, berbanding 84 orang sebelum ini, dengan kesemua mereka ditempatkan di sebuah PPS.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial