PUTRAJAYA, 13 Feb (Bernama) -- Tiada insiden pukul membabitkan tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) di Penjara Sungai Buloh, Selangor, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata perkara itu dimaklumkan pihak Jabatan Penjara yang telah melaksanakan pemeriksaan dan siasatan dalaman susulan dakwaan berlakunya insiden membabitkan tahanan SOSMA.
“Saya terima laporan penuh itu dan insiden memukul itu tidak berlaku,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Anugerah Inovasi Pendaftaran Negara 2024 di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Awang Alik Jeman dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara Badrul Hisham Alias.
Hari ini, sebuah portal berita melaporkan isteri kepada seorang tahanan SOSMA membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh, Selangor mendakwa suaminya dipukul.
Mengenai laporan polis dibuat wanita berkenaan, Saifuddin Nasution berkata pihaknya menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia bagi melakukan siasatan terperinci.
“Kalau dah laporan polis dibuat, kerja polis adalah menjalankan siasatan tetapi saya telah menerima maklum balas segera daripada Ketua Pengarah Penjara mengatakan bahawa tidak ada insiden (pukul) itu.
“Yang berlaku adalah insiden mogok (babit tahanan), bila mogok berhari-hari tidak ambil makanan dan tidak minum air, fizikal badan pun rasa lemahlah. Jadi, bila dibawa ke hospital terpaksa bawa dengan kerusi roda dan sebagainya,” katanya.
Beliau turut menegaskan Kementerian Dalam Negeri serta Jabatan Penjara tidak akan menyembunyikan apa jua perkara dan akan membiarkan polis menjalankan siasatan.
Mengenai tindakan mogok oleh ahli keluarga tahanan SOSMA di luar penjara itu, Saifuddin Nasution berkata kertas siasatan mengenai perhimpunan itu telah dikategori sebagai tiada tindakan lanjut (No Further Action).
Katanya laporan penuh mengenai insiden itu juga telah dibawa ke pengetahuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada 9 Feb, media melaporkan polis telah membuka kertas siasatan berhubung perhimpunan dan mogok lapar yang diadakan beberapa individu dipercayai ahli keluarga tahanan di bawah SOSMA di hadapan Penjara Sungai Buloh.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial