KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Jumlah keseluruhan keluasan Tanah Rizab Melayu (TRM) di Semenanjung Malaysia adalah seluas 4,955,870.89 hektar setakat 30 Jun 2024, kata Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Huang Tiong Sii.
Beliau berkata jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 2,533,150.8 hektar atau 104.55 peratus, berbanding data terawal keluasan TRM yang direkodkan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) pada 1947 iaitu seluas 2,422,720 hektar.
Bagaimanapun jumlah itu tidak termasuk Pulau Pinang dan Melaka yang tidak mempunyai enakmen TRM.
“Perkara berhubung TRM adalah di bawah bidang kuasa negeri, meskipun begitu, isu berkaitan TRM sentiasa dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) yang diwujudkan di peringkat Persekutuan yang berperanan merundingkan perkara-perkara berhubung tanah antara Kerajaan Persekutan dan Kerajaan Negeri,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Young Syefura Othman (PH-Bentong) yang ingin tahu tindakan Kerajaan Persekutuan untuk memastikan keluasan TRM tidak berkurangan dan mekanisme untuk mengatasi isu-isu berbangkit berkaitan TRM.
Menjelas lanjut, Huang berkata selaras keputusan Mesyuarat MTN ke-69, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) berperanan sebagai penyelaras untuk pengumpulan data TRM dengan beberapa sesi libat urus bersama pentadbiran tanah negeri dengan kerjasama Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) diadakan bagi mendapatkan data TRM yang tepat.
Beliau berkata data itu kemudiannya digunakan oleh NRES dalam mewujudkan satu sistem pangkalan data TRM berpusat untuk rujukan bagi tujuan pembangunan akan datang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial