AM > BERITA

Ombak Pazaar Cipta Standard Pengalaman Baharu Beli-belah Di Mayang Mall

19/02/2025 11:23 AM

Oleh Muhammad Faizal Nazmi Mohd Haran

KUALA TERENGGANU, 19 Feb (Bernama) -- Tidak perlu fikir panjang - Itu pendapat rata-rata vendor di ruang niaga Ombak Pazaar di pusat beli-belah Mayang Mall di sini ketika memutuskan untuk menyewa tapak perniagaan itu sejak 16 Jan lepas.

Ombak Pazaar adalah ruang komersial yang mengetengahkan rekaan 'pasar moden' khusus untuk   mempamer, mengukuh penjenamaan serta pasaran produk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam persekitaran membeli-belah yang dinamik.

Sepadan namanya, rekaan Ombak Pazaar berinspirasikan gabungan ombak dan nilai estetika industri serta seni Islamik yang memfokus kepada simetri juga keseimbangan dengan penekanan kepada rekaan industri melalui bahan mentah, struktur terdedah dan bentuk utilitarian.

Pemilik Iconic Attire Syed Muhammad Farhan Alyahya Tuan Din berkata sebagai rakyat Terengganu, pusat beli-belah berprestij seperti itu sememangnya amat dinantikan dan sebaik mengetahui tentang Ombak Pazaar, beliau tidak berfikir panjang untuk menyewa di situ.

"Ruang niaga ini dengan reka bentuknya yang eksklusif dan moden telah menyediakan standard baharu pengalaman membeli-belah di Terengganu khusus untuk pembeli serta peminat batik di Malaysia. Harga sewaan tapak pula secara peribadi saya rasa memang kena dengan nilai prestij yang ditawarkan," katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Syed Muhammad Farhan yang merupakan peniaga batik sedia dipakai atau ready-to-wear (RTW) sejak lima tahun lepas berkata budaya Terengganu yang diketengahkan menerusi batik lukis, batik blok dan pelbagai lagi variasi juga menjadi penyebab beliau memilih ruang niaga di tingkat tiga pusat beli-belah itu.

"Insya-Allah saya yakin dengan sambutan Mayang Mall yang menggalakkan sejak ia dibuka Disember lepas, semestinya akan membawa trafik (pelanggan) yang besar dan meluas," katanya yang turut menjanjikan kualiti produknya tidak akan mengecewakan pelanggan.

Peniaga muda berusia 28 itu berkata nilai eksklusif di Ombak Pazaar juga memberi lebih keselesaan kepada pelanggan sewaktu membeli-belah berbanding lokasi lain yang sesak terutama pada musim perayaan kerana tidak semua pembeli suka membeli-belah dalam situasi sebegitu.

Pekerja Luxe By Simply Famous Perfume, Nurul Ain Najwa Mazlan berkata meskipun baru sebulan bertapak di Ombak Pazaar, perniagaannya yang memfokus kepada konsep customise perfume itu berjaya menarik pembeli dari dalam dan luar negara, antaranya Singapura.

Dia percaya antara faktornya ialah aura dibawa ruang niaga itu yang menarik kehadiran pelanggan ke situ.

Nurul Ain Najwa yang berasal dari Dungun berkata dia juga percaya dengan pendekatan Ombak Pazaar yang mengutamakan PKS, dengan mampu menghasilkan jualan memberangsangkan sekali gus memberi pendapatan lumayan kepada peniaga terlibat.

“Kalau dalam pusat beli-belah ini kita tengok banyak jenama antarabangsa, tetapi bila pelanggan masuk Ombak Pazaar, fokus perniagaannya adalah produk tempatan. Sudah tentu mereka (pelanggan) boleh buat perbandingan harga dan dengan apa yang ditawarkan di sini, kelebihan harga itu saya percaya ada di sini," katanya.

Menariknya, selain berfungsi sebagai ruang perniagaan, Ombak Pazaar juga direka untuk meningkatkan penglibatan komuniti menerusi ruang pameran yang disediakan.

Pengarah EXCEED Design Show 2025 yang juga penuntut Fakulti Reka Bentuk Inovatif dan Teknologi Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Muhammad Muhqlis Hakimi Eddie Syukri menjadi pempamer sulung dengan mempamerkan projek akhir tahunnya di situ.

Pameran bermula 10 Feb lepas itu, katanya memberi peluang kepada dua kumpulan pempamer memperkenalkan rekaan masing-masing sekali gus membuka mata orang ramai tentang bakat pereka dilahirkan UniSZA.

“Pameran ini dibuat di luar kampus sebab mahu menarik orang untuk mengenal kursus kami dan UniSZA itu sendiri. Itu matlamat utama kami dan alhamdulillah di Ombak Pazaar, kami mampu capai sasaran itu apabila pengunjung yang hadir semasa pameran ini diadakan cukup memuaskan.

“Selain itu ia juga membantu kami untuk menempatkan diri dalam pasaran kerja kerana tidak mustahil ada dalam kalangan pengunjung yang hadir adalah pemain industri dalam bidang reka bentuk,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan