AM > BERITA

PETRA Jangka Projek Mitigasi Banjir Dapat Disegera 12 Bulan Lebih Awal

20/02/2025 12:11 PM

KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menjangkakan projek mitigasi banjir dapat disegerakan hingga 12 bulan lebih awal dari tempoh asal penyiapan projek hasil kerjasama daripada pelbagai pihak yang terlibat.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata hal ini kerana PETRA komited dalam melaksanakan projek mitigasi banjir bagi menangani risiko banjir yang semakin meningkat terutamanya di kawasan yang sering terdedah kepada bencana.

“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang meneliti pendekatan untuk menyegerakan projek dengan tempoh dan kos yang lebih efektif.

“Antara cadangan yang diambil ialah semua urusan termasuk pengambilan tanah dan proses reka bentuk akan diteliti semula untuk mempercepat tempoh penyiapan projek,” katanya yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) mengenai  tindakan kementerian berhubung gesaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya projek berkaitan tebatan banjir disegerakan dan kos terkini yang perlu ditanggung kerajaan memandangkan proses kelulusan projek itu pernah dibatalkan pada akhir 2022.

Menjelas lanjut, Fadillah berkata kerajaan telah menilai semula cadangan projek tebatan banjir selepas 2022 untuk memberi keutamaan kepada kawasan kritikal terlebih dahulu berdasarkan proses pentadbiran dan peruntukan kontrak bersesuaian serta mematuhi tatacara perolehan ditetapkan oleh Kementerian Kewangan.

Beliau berkata sehingga Rolling Plan Kelima Rancangan Malaysia Ke-12 (RP5 RMKe-12), sebanyak 136 projek tebatan banjir diluluskan dengan jumlah kos RM22.86 bilion dan daripada jumlah itu, 35 projek sedang dalam peringkat prapelaksanaan dan 73 projek dalam pelaksanaan.

Menjawab soalan tambahan Alias berkenaan projek mitigasi banjir di Sungai Golok, Fadillah berkata ia dalam peringkat prapelaksanaan kerana melibatkan kerjasama banyak kementerian dan agensi.

“Satu daripadanya ialah Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang merancang untuk kawal sempadan kita dengan memagar sempadan kita. Jadi Ketua Setiausaha Negara mempengerusikan (mesyuarat) untuk libatkan semua agensi kerajaan negeri dan Persekutuan bagaimana kita nak merencanakan supaya projek tebatan banjir dan pagar itu nanti dapat dilaksanakan.

“… ada arah tuju dan kita dapat persetujuan, malah bengkel juga sudah diadakan untuk kita merencanakan serta bila untuk dilaksanakan projek ini secara bersepadu,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan