KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Kadar Kesuburan Jumlah (TFR) di Malaysia dalam tempoh 15 tahun menunjukkan penurunan sejak 2013, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata mengikut data yang dikeluarkan oleh Economic and Social Commission for Asia and the Pacific (ESCAP) menerusi 2024 ESCAP Population Data Insights, kebanyakan negara di Asia Pasifik kini mencatatkan TFR di bawah 2.1 kadar penggantian.
“Dalam tempoh 15 tahun ini, kadar tertinggi TFR di Malaysia dicatatkan pada tahun 2011 dan 2012 iaitu 2.2. Sejak itu, negara kita menunjukkan trend TFR yang menurun.
“Bagaimanapun, TFR Malaysia buat kali pertama dalam tempoh itu telah menunjukkan peningkatan 0.1 kepada 1.7 pada tahun 2023 berbanding TFR 1.6 pada tahun sebelumnya,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) mengenai langkah kementerian untuk meningkatkan kadar kelahiran negara yang semakin menurun dan apakah inisiatif dalam menggalakkan rakyat agar menambahkan bilangan anak.
Nancy berkata pelbagai faktor menyumbang kepada penurunan TFR termasuk faktor ekonomi serta gaya hidup yang antaranya boleh mempengaruhi keputusan seperti pilihan umur untuk berkahwin dan bilangan anak serta masalah ketidaksuburan.
Beliau berkata kementerian itu melalui agensinya Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) giat melaksanakan inisiatif bagi menangani isu penurunan kadar kelahiran dan TFR.
“Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuklah Program Galakan Perkahwinan, perkhidmatan perancang keluarga dan perkhidmatan berkaitan kesuburan,
“LPPKN menawarkan pelbagai inisiatif termasuklah perkhidmatan rawatan kesuburan pada kos yang berpatutan dan pengoperasian klinik kesejahteraan lelaki yang menyediakan khidmat nasihat masalah seksual serta rawatan meningkatkan kesuburan lelaki,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial