AM > BERITA

Rakyat Tidak Perlu Bimbang, Segera Adaptasi Kemajuan AI - Chang

24/02/2025 03:46 PM

GEORGE TOWN, 24 Feb (Bernama) -- Orang ramai tidak perlu bimbang mengenai teknologi kecerdasan buatan (AI) sebaliknya segera mengadaptasi kemajuan teknologi berkenaan, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.

Beliau berkata sejarah telah membuktikan setiap revolusi teknologi sebelum ini, tidak menghapuskan peranan manusia sebaliknya mencipta lebih banyak peluang baharu.

“Jadi, saya menyeru orang ramai supaya tidak bimbang atau takut dengan teknologi baharu, tetapi kita harus mempelajari teknologi baharu ini,” katanya pada sidang media selepas pelancaran program AI Horizon - Shaping the Future with Penang's Talent yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Spice Arena pada 8 dan 9 Ogos depan.

Beliau berkata AI bukan lagi satu konsep masa hadapan tetapi satu realiti membentuk cara bekerja, hidup dan berinteraksi yang dijangka mengubah corak perniagaan, pentadbiran kerajaan serta  pembangunan masyarakat. 

Chang berkata kerjasama erat antara kerajaan, industri dan akademia juga penting untuk menjadikan Malaysia sebagai hab AI serantau

"Oleh itu, Inisiatif seperti AI Horizon memberikan peluang untuk sektor ini berinteraksi dan bekerjasama dalam mempercepatkan pertumbuhan ekosistem AI negara

"Saya ingin menyeru syarikat teknologi, universiti dan institusi penyelidikan untuk mengambil bahagian secara aktif dalam Industry AI Pavilion dan AI Application Showcase yang akan diadakan dalam AI Horizon bagi mengetengahkan inovasi kepada masyarakat, menarik bakat baharu serta membentuk kolaborasi lebih strategik," katanya. 

AI Horizon, satu inisiatif kerjasama Tech Dome Penang dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Penang STEM adalah sebuah platform komprehensif untuk mendidik, menginspirasi dan memperkasakan masyarakat mengenai AI. 

Antara komponen utamanya termasuk pameran teknologi AI, pameran aplikasi AI, dan perkongsian ilmu oleh pakar AI dari pelbagai sektor.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan