KOTA BHARU, 24 Feb (Bernama) -- Sebanyak 58 sekolah membabitkan 1,430 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berdepan kesukaran untuk menguasai subjek Bahasa Melayu dan Sejarah di Kelantan bakal menerima manfaat menerusi Program Anak Kita yang dilaksanakan pada tahun ini.
Perunding Kanan Unit Peneraju Inovasi Sosial dan Pemindahan Ilmu, Universiti Sains Malaysia (USM) Tuan Syed Yusof Syed Kechik berkata sebanyak 52 guru pembimbing dalam kalangan mahasiswa universiti berkenaan dilantik bagi menjayakan program berkenaan.
"USM dilantik sebagai rakan implementasi program Anak Kita bagi membantu pelajar SPM daripada kalangan B40 menguasai dua mata pelajaran penting ini menggunakan kaedah pembelajaran digital atau secara maya di luar waktu persekolahan.
"Pendekatan ini dilihat mampu memberi keselesaan kepada pelajar untuk mengulang kaji pelajaran dengan bimbingan guru pembimbing sekali gus meningkatkan kecemerlangan mereka dalam SPM nanti," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita bersempena dengan Majlis Peluncuran Program Anak Kita: SPM 2025 dan Revolusi Intervensi Murid Bacaan Asas dan Mengira (RIMBA) serta Sesi Pemberian Tablet Pendidikan Peringkat Negeri Kelantan di Kompleks Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) di sini hari ini.
Program berkenaan dirasmikan oleh Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum Kementerian Pendidikan Nooraini Kamaruddin.
Pada majlis itu, Nooraini turut menyerahkan plakad penerimaan 1,430 unit tablet dan kad sim kepada Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) JPN negeri Mat Lazim Mohammad.
Sementara itu, Tuan Syed Yusof berkata Kelantan juga terlibat dengan Program Pecutan SPM 2024 di bawah Program Anak Kita yang telah selesai dilaksanakan membabitkan 575 pelajar dan 16 sekolah.
"Kelantan juga turut terlibat dengan Program 3M (membaca, menulis, mengira) di bawah Program RIMBA yang melibatkan 5,420 murid daripada 140 sekolah rendah," katanya.
Program Anak Kita merupakan inisiatif Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan untuk menangani isu pemulihan pembelajaran dalam kalangan murid sekolah rendah dan menengah.
Sasaran Program Anak Kita bagi Program Pecutan SPM 2024 dan 2025 bertujuan memastikan pelajar yang terlibat dengan program ini layak mendapat sijil SPM.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial