AM > BERITA

Pengambilan Pekerja Asing Tanpa Dokumen Sah Beri Kesan Negatif Terhadap Negara

25/02/2025 10:11 PM

KOTA BHARU, 25 Feb (Bernama) -- Pengambilan pekerja asing tanpa dokumen sah memberi implikasi negatif terhadap negara dari segi undang-undang, sosial, kesihatan dan ekonomi, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap ATIPSOM Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Prof Madya Dr Geshina Ayu Mat Saat.

Beliau berkata antara kesan yang berlaku adalah peningkatan kadar jenayah seperti ragut, rompakan dan pergaduhan, selain risiko penyebaran penyakit berjangkit yang boleh menjejaskan kesihatan awam.

"Sebagai contoh, ada kes warga asing di Sabah dan Sarawak yang memalsukan sijil kesihatan sehingga menyebabkan penyakit yang dihadapi seperti kusta merebak kepada orang lain," katanya ketika berucap pada Program Pencegahan Jenayah Dalam Industri di sini hari ini, yang dirasmikan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan ACP Dr Douglas Nyeging Taong.

Geshina Ayu berkata pengambilan pekerja asing tanpa dokumen sah juga boleh menjejaskan peluang pekerjaan rakyat tempatan sehingga menyebabkan persaingan tidak adil kerana majikan dapat membayar gaji dengan kos yang lebih rendah kepada mereka.

"Justeru, majikan disarankan untuk mematuhi undang-undang sedia ada bagi mengelakkan sebarang risiko dan tindakan undang-undang boleh dikenakan kepada majikan yang melanggar peraturan negara," katanya.

Sementara itu, Douglas berkata lambakan pekerja asing perlu ditangani secara holistik, malah segala usaha yang dilakukan oleh mana-mana pihak dalam meningkatkan pencegahan jenayah dalam industri seperti perkilangan serta perladangan perlu disokong dan disambut baik.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan